SPRM panggil adik Shafie Apdal bantu siasatan penyelewengan


Jason Santos

ADIK kepada Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hamid Apdal dipanggil untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion. 

Difahamkan, beliau tiba di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu, pagi ini.

Mereka yang ditahan setakat ini untuk membantu siasatan ialah Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Peter Anthony, ketua Pemudanya Aziz Jamman, seorang kontraktor yang juga ahli perniagaan, dan dua pemimpin Umno Tawau - Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim dan Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar.

Antony yang ditahan sejak lima hari lalu dilanjutkan tempoh reman tiga hari bermula hari ini manakala tempoh reman ahli perniagaan berusia 54 tahun pula dilanjutkan empat hari lagi.

Aziz, Ariffin dan Jamawi direman lima hari bermula hari ini. 

Siasatan SPRM itu dibuat berhubung penyelewengan membabitkan dana persekutuan untuk projek bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar Sabah. 

Penyiasat SPRM kini memfokuskan kepada temph masa antara 2009 hingga 2015 yang mana penyelewengan itu didakwa berlaku di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di Sabah. 

Abang kepada Hamid, Shafie Apdal merupakan menteri dan pemimpin Umno pada waktu itu. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen