Merenung wacana ‘empayar’ Melaka


WACANA kesejarahan Melaka bukanlah sesuatu yang baharu. Tetapi, ia akan segar-bugar sekiranya wacana kesejarahan tersebut tidak sekadar melihat pada hal-hal kronologis peristiwa ataupun yang megah-megah pada kegemilangan materialistiknya, sebaliknya melihat pula pada sisi linguistik dan kritik.

Saya tidak berminat hendak mengangkat sangat pujian dalam tulisan, tetapi saya kira kredit perlu diberikan kepada Melaka In Fact, sebuah organisasi penyelidikan sejarah Melaka yang menganjurkan seminar “Melaka in the Long 15th Century” pada 2 hingga 4 Ogos lalu.

Seminar tersebut menampilkan tokoh besar sejarawan, sosiologis, pakar arkeologi, persuratan, dan linguistik dalam wacana kenusantaraan seperti Prof Anthony Reid,  Dr Nasha Rodziadi Khaw, Dr Azhar Ibrahim, Prof Ahmat Adam, Dr Imran Tajudeen, Prof Barbara Andaya, Prof Azyumardi Azra dan lain-lain.

Dalam wacana tersebut, kita dapat melihat bagaimana bezanya tokoh akademik besar berbahas sesama sendiri dalam bidang masing-masing dengan sangat konstruktif dan kita yang masih anak kecil ini dapat mengambil manfaat daripada mereka.

Saya sebenarnya tertarik dengan makalah Prof Barbara Watson Andaya bertajuk “Rethinking Melaka As “Empire”. Dalam makalah tersebut, Prof Andaya membuat analisis linguistik terhadap kata-kata kekunci penting dalam membuat pentafsiran bahawa Melaka itu layak dianggap sebagai sebuah empayar ataupun tidak.

Antara kata kekunci yang diteliti adalah seperti benua, takluk, jajahan, negeri besar, sembah, salam, dan kebesaran.

Kata-kata kunci tersebut banyak dianalisis daripada teks Sejarah Melayu dengan menggunakan idea “dotted lines” yang dibangunkan oleh Vladimir Braginsky. Ia konsep dalam menjejak hubungan antara perkataan yang diguna bagi memerhatikan rasional yang menegaskan Melaka sebagai sebuah negeri besar pada mata masyarakat Melayu.

Sesetengah orang melihat perkara ini hanyalah sekadar perbincangan konseptual yang mempermasalahkan penggunaan istilah. Bagaimanapun saya melihat bahawa perbincangan Prof Andaya amat penting, kerana konsep “empayar” tersebut akan memberi gambaran kepada wacana ke-Melaka-an.

Wacana ke-Melaka-an yang saya maksudkan ialah wacana akademik yang menyentuh perihal Melaka pada abad ke-15 daripada segala sudut perbincangan seperti sejarah, kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, ekonomi, politik, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

“Empayar” itu memberi pengaruh kepada semangat pemikiran (psyche) pada ahli akademik dalam membincangkan naratif ke-Melaka-an berdasarkan kepada sentimen yang dimilikinya yang bersalut bukti-bukti ilmiah.

Malah Prof Andaya sendiri memberitahu dalam kertas kerjanya menyebut makalah tersebut ditulis untuk merenungi semula “empayar” Melaka kerana konsep tersebut digunakan secara meluas dalam banyak tulisan akademik.

Maka dapatlah difahami sebilangan tulisan akademik sering kali menjadikan istilah “empayar” untuk meromantiskan wacana ke-Melaka-an tanpa membawa justifikasi kukuh terhadapnya.

Jadi, apabila merenungi semula teks Sejarah Melayu yang sering menjadi rujukan sejarah masyarakat (tetapi disanggah oleh Prof Ahmat Adam yang menolaknya sebagai teks sejarah autentik – hal itu boleh diperbincangkan di tempat lain), maka Prof Andaya cuba menghuraikan terminologi empayar tersebut dari sudut epistemologi masyarakat pada ketika itu.

Dalam makalah tersebut, Prof Andaya menegaskan kita perlu mengelak membincangkan aspek sejarah rantau ini dengan merujuk kepada konsep kontemporari ataupun model yang bergantung kepada bukti daripada rantau lain, kerana pengajian Asia Tenggara juga perlu mewujudkan pendiriannya dalam wacana historiografi global.

Jadi, apabila Prof Andaya membincangkan semula pengistilahan empayar terhadap Melaka ini, yang beliau sedang tampilkan adalah bagaimana sewajarnya historiografi sejarah Nusantara harus dibincangkan, iaitu dengan memahami sendiri pembahasaan dalam teks-teks Melayu dalam memahami semangat pemikiran masyarakat pada zaman itu.

Dalam makalah ini, Prof Andaya tidak menyimpulkan apa-apa daripada perbincangan, malah beliau sendiri menutup makalahnya itu dengan sekadar memberitahu gelaran empayar terhadap Melaka adalah terbuka kepada perbahasan, tapi tidak menafikan hakikat Melaka pernah menjadi negara ikon dalam sejarah Asia Tenggara.

Apabila dikatakan Melaka sebagai “negeri besar”, maka ia menggambarkan Melaka merupakan sebuah wilayah yang pernah menjadi sebuah kerajaan yang masyhur dan berpengaruh pada ketika itu (Maka masyhurlah dari bawah angin datang ke atas angin negeri Melaka terlalu besar). 

Gelaran “negeri besar” itu menghubungkan kepada istilah kebesaran, yang melakar hubungannya dengan perkataan ramai, makmur dan masyhur. Istilah ramai, makmur, dan masyhur gambaran idea kepada suasana Melaka abad ke-15 yang sibuk, banyaknya kapal dagang luar singgah di pelabuhan, kebisingan dan kesesakan di pasar, dan aktiviti masyarakatnya yang banyak dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

Namun begitu, wajar juga saya kira untuk direfleksi semula juga akan refleksi Prof Andaya ini, kerana rujukan utamanya itu ialah semata-mata teks Sejarah Melayu (dan ada juga merujuk sedikit kepada Hikayat Raja-Raja Pasai).

Sebabnya, penulisan teks Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang itu sendiri juga dipertikaikan akan keikhlasan penulisannya dalam memaparkan sejarah kerajaan Nusantara.

Keberpihakan naratif sejarahnya yang cenderung mengangkat feudalisme dan bercampur aduk dengan mitos dan tahyul menjadikan kepenggunaan perkataan tersebut barangkali adalah sesuatu yang sengaja diperbesar-besarkan dan mungkin tidak mencerminkan epistemologi sebenar masyarakat Melayu pada ketika itu.

Boleh saja untuk kita mewujudkan andaian kebesaran Melaka pada ketika itu masih belum cukup besar untuk dipertandingkan dengan China, Keling (India), ataupun Siam untuk dianggap sebagai sebuah empayar, tetapi diperbesar-besarkan oleh Tun Sri Lanang yang dipengaruhi oleh tradisi penulisan hikayat yang suka mengagung-agungkan golongan bangsawan.

Jadi, ia memungkinkan analisis linguistik Prof Andaya tidak cukup kuat untuk membahaskan isu gelaran “empayar” kepada Melaka jika tidak disekalikan bersama penganalisisan terhadap bukti-bukti arkeologi seperti surat-menyurat rasmi kerajaan Melaka dengan China, Keling, dan Siam, tulisan-tulisan masyarakat Melayu pada ketika itu yang menceritakan tentang kebesaran Melaka, dan sebagainya.

Jadi, untuk teks yang sentiasa diperbahaskan autoriti kesejarahannya itu, maka sukar untuk mengatakan ia membawa gambaran kepada realiti sebenar bumi Melaka ketika itu untuk membuat penilaian jitu sama ada Melaka abad ke-15 layak digelar sebagai empayar ataupun tidak.

Bagaimanapun, ia refleksi kecil saya terhadap makalah Prof Andaya yang tidak menghilangkan rasa keterujaan saya membaca sebuah makalah yang membuka sebuah perbahasan linguistik dalam wacana ke-Melaka-an.

Wacana ke-Melaka-an sering hanya dimonopoli oleh wacana sosiopolitik dan sosiobudaya, tapi wajar juga hal-hal linguistik dituruti sama kerana analisis linguistik itu sendiri boleh menjadi pembuktian dalam menjelaskan hal-hal wacana lainnya.

Saya kira terima kasih wajar diberikan kepada Melaka In Fact atas penganjuran program yang jarang-jarang sebegini dalam mengangkat wacana ke-Melaka-an secara kritis dan membawa perbincangan yang berani untuk menongkah arus.

Khabarnya akan datang Melaka In Fact akan menggerakkan pula kepada pembangunan wacana mengenai Munshi Abdullah. Saya harap Melaka In Fact sekali lagi boleh mengangkat wacananya ke hadapan secara kritis.

Bersihkan kembali nama Munshi Abdullah yang sudah lama tercalar oleh sekian banyak penulisan popular oleh penulis tidak bernama mahupun sarjana yang cetek mindanya untuk terpengaruh sekali dengan tohmahan “pengkhianat bangsa” terhadap beliau. – 21 Ogos, 2019.

* A Muziru Idham ialah pegawai advokasi di Islamic Renaissance Front.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen