Konsep 'bandar Arab' mampu cetus salah faham, kata pengkaji


Mohd Farhan Darwis

Pembangunan bandar Islam, Raudhah City di Cyberjaya yang dimajukan bersama oleh Raudhah City Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2019.

NAMA Arab bagi pembangunan sebuah bandar dengan konsep Islam boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan penganut agama lain, kata seorang pakar antropologi dan sosiologi yang membuat penyelidikan hubungan kaum di Malaysia.

Prof Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata dalam suasana rakyat berbilang kaum dan agama, lebih sesuai jika bandar Islam yang ingin dibangunkan menggunakan Bahasa Melayu dengan nama yang mudah difahami untuk mengelakkan salah faham.

Sebuah bandar masih boleh dibangunkan dengan konsep Islam dan tidak semestinya memakai nama Arab dan dapat diterima umum seperti Putrajaya, kata pengasas dan pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“(Nama Arab) lebih banyak menimbulkan salah faham kerana majoriti tidak tahu akan perkataan dan konsep raudhah itu sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas pembangunan bandar Islam, Raudhah City di Cyberjaya yang dimajukan bersama oleh Raudhah City Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Raudhah dari segi bahasa bermaksud “taman”. Secara khusus, ia juga merujuk pada suatu ruang di Masjid Nabawi di Madinah yang merupakan tapak antara rumah Nabi Muhammad dan mimbar di masjid yang beliau bina pada zaman awal Islam.

Daripada hadis Nabi Muhammad yang menyifatkan ruang itu “antara taman di syurga”, umat Islam percaya tempat tersebut mustajab untuk berdoa.

Jelas Shamsul Amri, senario Islam untuk orang Melayu mungkin dianggap jadi paksaan kepada kaum lain apabila konsep Islam itu diarabkan.

“Agama Islam dipersepsikan agama orang Melayu, sedangkan ada India Muslim, Cina Muslim… maka etnik lain yang tidak bergama Islam akan merasakan seperti konsep ini dipaksakan,” katanya.

Beliau menyamakan salah faham itu dengan kekeliruan yang timbul berbangkit daripada cadangan kerajaan melaksanakan pembelajaran khat dan tulisan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil.

Projek Raudhah City bernilai RM12.3 bilion itu dibina secara berperingkat merangkumi sebuah sekolah antarabangsa, rumah teres, pangsapuri, pusat membeli-belah, pusat perubatan dan menara berkembar untuk perniagaan.

Sebuah bangunan sekolah swasta berhampiran dengan tapak pembinaan bandar Raudhah Ville di Cyberjaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2019.

Pengasas Raudhah City, Mohd Fadzil Hashim menjelaskan projek bandar baharu itu bukan eksklusif untuk Muslim tetapi terbuka juga kepada orang bukan Islam.

“Kehidupan Islam moden bukan hanya setakat sembahyang dan pakai jubah. Orang ramai fikir Raudhah City nak jadikan (Melayu) Arab, hudud dan sebagainya. Itu pemahaman Islam yang sempit,” kata beliau, yang juga ketua pegawai eksekutif Raudhah City Sdn Bhd.

Menurut Shamsul Amri, Malaysia sudah ada model pembangunan bandar Islam yang diterima dan difahami etnik pelbagai kaum iaitu Putrajaya.

Katanya, konsep “Masyarakat Sejahtera Putrajaya” yang dilancarkan oleh Perbadanan Putrajaya baru-baru ini adalah konsep perbandaran berasaskan kefahaman Islam tanpa perlu bersifat kearaban.

Beliau mengingatkan bagaimana konsep itu pada asalnya hendak dinamakan “Masyarakat Madina Putrajaya” tetapi disemak semula dan ditukar kepada istilah Bahasa Melayu yang lebih sesuai.

“Ini contoh yang baik dilaksana oleh pimpinan Perbadanan Putrajaya yang prihatin tentang kemajmukan berbilang etnik masyarakat Malaysia,” kata Shamsul Amri.

Pada Mac lalu, Perbadanan Putrajaya melancarkan pelan tindakan Masyarakat Sejahtera Putrajaya 2018-2022 untuk membina penduduk yang berpegang pada nilai murni demi kesejahteraan bersama.

Jelas Rais, kecenderungan pelbagai pihak mengarabkan sesuatu di negara untuk jadi simbol awam Islam pernah ditegur beberapa pemimpin, antaranya bekas menteri kebudayaan Rais Yatim.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga beberapa tahun lalu pernah menegur orang Melayu menggesa mereka mengekalkan budaya sendiri dan tidak meniru Arab, ketika sikap konservatif dalam kalangan Melayu dilihat tumbuh subur.

“Tidak tahu kenapa PKNS memilih Raudhah City… Mungkin lebih baik kalau menggunakan Taman Doa atau sebagainya,” kata Shamsul Amri. – 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen