Bandar Islam bukan untuk Muslim sahaja, kata CEO Raudhah City


Mohd Farhan Darwis

Projek perumahan bandar Islam Raudhah City di Cyberjaya bukan hanya dibuat untuk orang Islam tetapi terbuka juga kepada pembeli bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal. 16 Ogos, 2019.

PROJEK perumahan bandar Islam Raudhah City di Cyberjaya bukan hanya dibuat untuk orang Islam tetapi terbuka juga kepada pembeli bukan Islam dengan tawaran konsep sebuah kawasan kejiranan yang damai dengan semangat kejiranan yang tinggi, kata pengasasnya Mohd Fadzil Hashim.

Orang bukan Islam malah digalakkan untuk membeli kediaman di bandar baharu itu untuk mengenali wajah Islam yang sebenar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn Bhd itu.

Katanya, masyarakat bukan Islam tidak perlu khuatir rasa akan dipinggirkan di tengah-tengah kejiranan Muslim kerana Islam meletakkan kedudukan jiran lebih tinggi daripada saudara-mara yang berjauhan.

“Bandar bercirikan Islam bukan setakat ceramah, sembahyang, atau hudud seperti sangkaan beberapa pihak, bukan begitu… ia merangkumi panduan untuk hidup berjiran, sama ada jiran itu Islam atau bukan,” kata Fadzil dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Jelas Fadzil, kehidupan berjiran pada hari ini menjadikan masyarakat terlalu bersikap peribadi sehingga jiran tidak kenal antara satu sama lain, dan itulah yang hendak dibetulkan melalui Raudhah City.

“Tidak ada kejiranan yang dibina hari ini mempromosikan pembinaan komuniti, sebaliknya mereka hanya mempromosikan pembangunan fizikal tanpa ikatan emosi antara komuniti,” katanya.

Beliau menepis salah tanggap kononnya projek itu mahu mengasingkan orang Islam dalam sebuah kejiranan yang eksklusif untuk orang Islam di tengah-tengah sebuah masyarakat yang majmuk di Malaysia.

Iklan pemidang projek perumahan Raudhah City memaparkan individu Melayu Islam bersongkok dan bertudung dengan slogan promosi antaranya “Bandar Moden Islam Pertama di Malaysia”, “Jom Kita Berjiran” dan “Jiran Dunia Akhirat”.

“Kehidupan Islam moden bukan hanya setakat sembahyang dan pakai jubah. Orang ramai fikir Raudhah City nak jadikan (Melayu) Arab, hudud dan sebagainya. Itu pemahaman Islam yang sempit.

“Kehidupan Islam yang moden adalah saling sayang-menyayangi, hidup dengan aman tenteram, tiada perkauman dan saling hormat-menghormati,” kata Fadzil.

Tiada larangan bela anjing

Menurut Fadzil, dalam komuniti itu juga tiada larangan khusus yang akan dikenakan terhadap pemilikan haiwan peliharaan seperti anjing.

“Kami tidak boleh melarang mereka daripada memelihara anjing, tetapi cuma tidak digalakkan bagi mengelakkan rasa tidak selesa komuniti lain.

“Mereka boleh pelihara anjing, tetapi apabila nak bawa anjing berjalan-jalan di taman, bawalah di luar waktu puncak, seperti waktu maghrib atau waktu malam, ketika tidak ramai sangat orang… tidak ada masalah,” katanya.

Raudhah City ialah sebuah bandar baharu di Cyberjaya dengan keluasan 40.5 hektar, dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di tanah milik agensi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal. 16 Ogos, 2019.

Pihak pemaju juga tidak mempunyai halangan untuk komuniti bukan Islam melaksanakan aktiviti keagamaan mereka, tambahnya.

“Muslim hidup dalam acara Muslim, memaparkan definisi sebenar Islam. Kami alu-alukan bukan Islam (datang menetap di Raudhah City) dan mereka juga tak perlu pakai tudung (tutup aurat) semua apabila berada di Raudhah City,” katanya.

Jelas Fadzil, sebarang perselisihan sesama jiran, sekiranya ada nanti, sama ada dalam kalangan penduduk yang beragama Islam atau bukan, akan diselesaikan dengan perbincangan.

“Kita ada undang-undang, kita tiada kuasa nak halau orang keluar dan sebagainya, langkah terbaik adalah adakan pertemuan, berbincang cara baik,” katanya.

Aspek rohani

Menurut Fadzil, kesilapan pembinaan kediaman hari ini adalah hanya memberikan tumpuan kepada aspek fizikal pembinaan dan mengenepikan aspek kerohanian.

“Tiada orang yang mempromosikan kehidupan rohani. Kriteria orang beli rumah hanya menggunakan aspek emosi, eksklusif, dan panoramanya… elemen kerohanian tidak boleh dielakkan.

“Ada pemaju boleh buat rumah lebih baik tetapi kami merasakan kediaman kami mesra untuk semua lapisan, mesra anak-anak, keluarga dan warga emas,” tambahnya.

Raudhah City ialah sebuah bandar baharu di Cyberjaya dengan keluasan 40.5 hektar, dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di tanah milik agensi itu.

Projek bernilai RM12.3 bilion itu dibina secara berperingkat merangkumi sebuah sekolah antarabangsa, yang sudah siap pada fasa pertama. Fasa kedua ialah 300 unit kediaman rumah teres berangkai luas (superlink) dua dan tiga tingkat dengan keluasan 20x70 kaki dan 28x70 kaki. 

Unit berharga antara RM1.1 juta hingga RM2 juta itu setakat ini sudah terjual lebih 50%, kata Fadzil.

“Ada 10 unit dibeli oleh pembeli bukan Islam,” tambahnya.

Fasa ketiga nanti membabitkan pembinaan pembangunan bercampur 1,500 unit pangsapuri berharga antara RM300,000 hingga RM400,000, pusat membeli-belah dan pusat perubatan.

Fasa seterusnya adalah menara komersial berkembar untuk tujuan perniagaan.

“Saya bersama beberapa kakitangan saya juga akan berpindah ke Raudhah City apabila pembinaannya selesai,” kata Fadzil.

Sementara itu, Ahmad Fahmi Mohd Samsudian, 37, ketika ditemui The Malaysian Insight semasa datang melibat rumah contoh berpendapat tiada apa masalah dengan projek Raudhah City.

Katanya, sebuah bandar Islam tidak harus jadi isu dalam realiti budaya masyarakat yang berbilang kaum.

“Di Cyberjaya ada banyak tempat lain yang juga didiami bukan Islam, konsep macam ini untuk Muslim tidak ada masalah,” katanya.

Perunding komuniti, Mohamad Shafiq Zainudin, 29, pula berkata, konsep yang ditekankan pemaju Raudhah City amat bertepatan dengan konsep “rumahku syurgaku”.

“Kita balik rumah kita nak rasa seronok, kita kerja ada banyak masalah. Bila balik, kalau jiran atau komuniti ada masalah, tak seronok. Dengan konsep yang dibawa ini, ibarat rumahku syurgaku.

“Ini macam konsep kampung dalam keadaan moden. Di kampung permulaan komuniti itu bermula di surau, sebab itu kita ada kapasiti surau yang besar, mampu  memuatkan antara 700 hingga 800 orang dalam satu-satu masa,” katanya lagi.  – 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen