Sudah tiba masanya Malaysia amal dasar berasaskan keperluan


Mustafa K. Anuar

Malaysia yang progresif, sejahtera dan harmoni perlu diasaskan berdasarkan idea bahawa setiap kepentingan warganya terjaga dan terbela. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2019.

9 Mei 2018 pastinya tercatat sebagai tarikh penting dalam sejarah negara apabila Pakatan Harapan berjaya berkuasa, dan ia sepatutnya membuka pintu perubahan dan bermulanya pelaksanaan siri pembaharuan demi manfaat semua rakyat Malaysia.

Ia bermakna perubahan daripada kebiasaan jelik seperti kronisme, penaungan, korupsi, kekurangan ketelusan dan kebertanggungjawab, perkauman dan keadilan sosial yang terpaksa ditempuh rakyat ketika rejim pentadbiran Barisan Nasional.

Disebabkan itulah gesaan yang dibuat perdana menteri menanti Anwar Ibrahim pada Simposium Ekonomi Malaysia adalah juga harapan seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan perubahan.

Beliau bercakap tentang perlunya kerajaan PH beralih daripada pendekatan berasaskan kaum ala Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada strategi berdasarkan keperluan yang lebih inklusif supaya kesenjangan kekayaan dan ekuiti antara kaum di negara ini dapat dirapatkan.

Tidak kisahlah, jika benar desakan untuk menghapuskan dasar berasaskan kaum itu datangnya dari kelompok elit bandar, yang menurut Anwar hanya goyang kaki tidak membantu mengurangkan kesenjangan ekuiti sosial. Apa yang penting adalah permulaan perubahan dasar yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Walaupun DEB bermatlamat baik untuk memenuhi keperluan golongan miskin dan tertindas, salah guna dasar ekonomi itu dahulu menuntut semakan semula dan perubahan dibuat sekarang.

Pada masa lalu, mereka yang ada hubungan dan pengaruh politik memewahkan diri sendiri menggunakan DEB, menindas golongan miskin dan terpinggir yang sangat memerlukan peluang untuk kehidupan ekonomi dan sosial yang lebih baik.

Kemiskinan buta warna, dan kerana itulah kerajaan rakyat wajar memberikan bantuan kepada semua tanpa mengenal cerah gelap kulit mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2019.

Memburukkan keadaan, salah guna dasar itu turut meningkatkan kesenjangan ekuiti dalam kalangan orang Melayu/Bumiputera sendiri- berbanding matlamat asal untuk merapatkan jurang kekayaan.

Contoh paling jelas dan nyata adalah situasi Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang berdekad lamanya diabaikan kerajaan walaupun mereka adalah pribumi, kerana mereka tiada pengaruh politik berbanding kelompok elit bandar Bumiputera yang hidup senang dan mewah.

Kerentanan Orang Asli sehingga membawa kepada pencerobohan tanah adat mereka- yang dikatakan dibuat pembalak- adalah bukti nyata bagaimana kebajikan, kehidupan dan budaya mereka tidak diberikan perhatian dan dihormati penguasa.

Selain itu, wujud juga kumpulan terbawah 40% masyarakat- majoritinya Bumiputera- yang kedudukan kewangan mereka getir walaupun DEB dan pelbagai tambah baik dilakukan ke atas dasar itu yang sudah bermula sejak 1970 lagi.

Pendekatan berasaskan keperluan akan memberi lebih tumpuan dalam menyasarkan matlamat kepada golongan miskin, ramai daripada mereka adalah orang Melayu/Bumiputera yang merupakan kelompok terbesar penerima bantuan kerajaan.

Tambahan pula, pemberian bantuan kepada kelompok yang benar-benar memerlukan dalam jangka masa panjang akan melemahkan “budaya kelayakan hak” dalam sesetengah kelompok Bumiputera, budaya yang tidak sihat kepada negara.

Pada masa sama, strategi ini juga dapat mendekati orang miskin kaum lain yang turut memerlukan pertolongan dan layak mendapat bantuan kerajaan. Diharapkan, ia akan dapat menangani isu keadilan sosial yang sudah lama tertangguh penyelesaiannya dengan kaedah lebih menyeluruh dan adil saksama.

Kita semua tahu, kemiskinan buta warna, dan kerana itulah kerajaan rakyat wajar memberikan bantuan kepada semua tanpa mengenal cerah gelap kulit mereka.

Dasar ini yang memerlukan kesungguhan waja politik, juga bermatlamat memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan sosio ekonomi, seperti yang diharapkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak lama dahulu.

Pendekatan perkongsian kesejahteraan yang inklusif ini juga menyuburkan rasa kebersamaan dalam kalangan warga pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama ketika masyarakat hebat digempur kuasa jahat yang tidak putus asa mahu memecahkan kita.

Walaupun begitu, rasional perubahan dasar ini perlu diterangkan dengan baik dan mendalam kepada rakyat, terutama sekali orang Melayu, dengan cara beradab dan teratur.

Ini perlu kerana wujud pihak berkepentingan diri dalam kalangan kita yang siap siaga mencari ruang dan peluang untuk mencetuskan ketakutan dan kebimbangan orang Melayu, terutama yang bertahun lamanya tertutup dan terjajah pemikirannya.

Malaysia yang progresif, sejahtera dan harmoni perlu diasaskan berdasarkan idea bahawa setiap kepentingan warganya terjaga dan terbela. – 28 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen