Bekas pekerja rasa tertipu, Utusan gagal bayar VSS ikut jadual


Zaim Ibrahim

Dalam perjanjian sebelum ini, Utusan menggunakan kaedah bayaran pampasan secara beransur-ansur selama 12 bulan kerana syarikat perlu menjual aset.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2019.

KAKITANGAN Kumpulan Utusan Melayu Berhad mendakwa ditipu kerana masih belum menerima bayaran ansuran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) mengikut jadual.

Kakitangan itu memberitahu The Malaysian Insight, Utusan lewat membayar lewat dan bayaran berjumlah RM85  juta itu pula hanya dibuat secara separuh-separuh.

Lebih menyakitkan hati, Utusan hanya membayar RM1,000 kepada setiap 800 kakitangan terlibat pada Mei lalu, kata kakitangan ini.

“Pembayaran yang ikut perjanjian mengikut gaji bulanan hanya Disember 2018 dan Januari 2019. Selepas itu, memang haru. Selalu bayar lambat dan ada yang bayar secara separuh-separuh.

“Dan terbaru, kami dibayar RM 1,000 sahaja daripada jumlah sepatutnya untuk pembayaran bulan Mei sebanyak dua kali.

“Mereka akan keluarkan notis jika terpaksa pampasan diberikan lewat, kami kenyang makan notis sahaja,” kata beliau.

Sumber itu berkata, Utusan memberitahu mereka bayaran itu lewat kerana masih belum berjaya menjual aset syarikat bagi melunaskan bayaran itu.

“Buat masa ini, yang setuju membeli untuk membeli baru sembilan aset.Tetapi, yang betul-betul dapat hasil penjualan  baru satu aset yang bernilai RM 850,000 sahaja. 

“Jadi bagaimana nilai ini nak menampung bayaran pampasan VSS?” soal beliau yang kecewa kerana hanya memperoleh antara lima hingga enam peratus daripada jumlah pampasan yang dijanjikan.

Setakat ini, jumlah pampasan VSS yang sudah dibayar adalah RM 21 juta dan Utusan masih perlu membayar RM 64 juta lagi.

“Pada dasarnya, punca krisis ini disebabkan penjualan aset yang lembab. Kemungkinan, tahun 2020 hingga 2021 pun aset ini tidak dapat dijual,” jelasnya.

Dalam perjanjian sebelum ini, Utusan menggunakan kaedah bayaran pampasan secara beransur-ansur selama 12 bulan kerana syarikat perlu menjual aset.

Dalam satu dokumen yang dilihat The Malaysian Insight, Utusan ingin menjual 26 asetnya yang berjumlah RM118,992,822 juta tetapi hanya sembilan aset berjaya dijual setakat ini.

Jumlah aset itu bernilai RM11,908,826. 

Tambah sumber, bekas kakitangan Utusan berbelah bahagi untuk bawa kes ini ke mahkamah kerana ia akan mengundang pelbagai implikasi lain. 

“Memang ada perbincangan untuk bawa kes ini ke mahkamah tetapi ada yang risau, jika bawa ke mahkamah isu ini akan berlarutan lebih lami. 

“Pihak syarikat nanti boleh lepas tangan sebab kes dibawa ke mahkamah. Seboleh-bolehnya kami nak elak daripada bawa kes ke mahkamah. 

“Kami akan terus berunding dan mendesak Utusan untuk ikut perjanjian yang ditetapkan,” katanya.

Seorang lagi sumber memberitahu, beliau kesal keadaan huru-hara dalam pengurusan bayaran itu memberi kesan kepada bekas kakitangannya.

“Memang Utusan nak bayar tapi tidak mengikut jadual. Kita pun perlukan modal untuk berniaga atau apa-apa, tetapi Utusan layan kami seperti ini,” katanya.

Beliau juga yakin, Utusan tidak mampu membayar secara keseluruhan wang pampasan VSS pada akhir tahun ini seperti yang dijanjikan dan ia akan terus tertangguh hingga tahun 2020.

Katanya, beliau marah kerana pengerusi syarikat, Abd Aziz Sheikh Fadzir menyatakan bayaran itu tidak dapat dijelaskan.

“Pada pertemuan (Rabu lalu), saya marah apabila dengar daripada mulut Abd. Aziz Sheikh Fadzir bahawa Utusan tidak mampu membayar secara keseluruhan pampasan VSS pada akhir tahun ini.

“Masa umum VSS dahulu, beliau tidak berkata pembayaran tertakhluk kepada penjualan aset. Kami rasa seolah-olah ditipu secara halus,” kata beliau.

Beliau bimbang kumpulan bekas kakitangan itu akan berpecah kepada dua kumpulan sekiranya ada yang membawa kes itu ke mahkamah.

“Dalam kalangan bekas kakitangan, masih ada lagi yang mengharapkan wang itu dibayar secara bulanan. 

“Kalau bawa ke mahkamah, belum tentu juga kes ini berpihak kepada kami. Tetapi tidak mustahil, akan ada gerakan untuk bawa ke mahkamah,” ujar beliau.

Selain bekas kakitangan, masalah kewangan Utusan itu turut menjejaskan kakitangan yang masih berkhidmat dengan syarikat tersebut.

Seorang kakitangan Utusan yang enggan dikenali berkata, pada awalnya mereka dibayar gaji sebanyak dua kali sebulan tetapi kemudiannya hanya dibayar RM1,000.

Kes itu melibatkan kakitangan yang menganggotai Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ-Utusan), kata sumber.

“Bagi NUJ, kami dibayar gaji dua kali sebulan. Bayaran pertama dibayar separuh dan bayaran kedua, hanya RM 1,000. Hal ini telah berlaku dua bulan lepas.

“Bagi pegawai eksekutif, gaji 30 Jun dibayar RM 1,000, baru-baru ini mereka dapat lagi RM 1,000 dan kami pun tidak tahu bila kami boleh mendapat gaji penuh,” jelas beliau.

Tahun lepas, Utusan beberapa kali lewat membayar gaji kepada kakitangannya sebelum menawarkan skim VSS untuk mengurangkan pekerja.

Kumpulan Utusan kini berstatus PN17 di Bursa Saham Malaysia selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.

Syarikat itu menerbitkan Utusan Malaysia dan juga Kosmo. – 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen