Skuad Badar idam jaringan lebih luas ke seluruh negeri


Zaim Ibrahim

Skuad Badar berikrar untuk menubuhkan jaringan lebih besar dengan nama Skuad Badar Al Kubra. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

PEMIMPIN pertubuhan yang diheret ke mahkamah kerana menyalahi undang-undang, Skuad Badar berikrar untuk menubuhkan jaringan lebih besar dengan nama Skuad Badar Al Kubra.

Pengasas dan Pengerusinya Azhar Mohamad berkata pertubuhan itu dijenamakan semula dan akan kembali aktif akhir bulan ini untuk memenuhi permintaan pelbagai pihak.

“Saya akan buka Skuad Badar Al Kubra Malaysia. Setiap negeri akan ada cawangannya untuk membuat operasi mencegah kemungkaran dan membantu pihak berkuasa. 

“Ahli-ahli sudah ada tetapi belum didaftarkan lagi. Kita akan buat satu majlis pelancaran Skuad Badar yang baharu, Insyaallah penghujung bulan Julai ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azhar dan enam yang lain didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menyertai pertubuhan haram.

Menurut peguamnya Mohd Amirul Ramli, ketujuh-tujuh individu terbabit mengaku bersalah pada 24 April lalu selepas empat kali sebutan kes. 

Bimbang dikenakan tindakan serupa, Azhar berkata beliau akan memohon kepada RoS terlebih dahulu sebelum menubuhkan Skuad Badar Al Kubra.

“Saya akan mohon kepada RoS (Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) kembali. Saya akan dapat nasihatkan peguam. Kita pun tak mahu langgar undang-undang,” katanya.

Pencegahan maksiat yang dilakukan Skuad Badar adalah membawa 'pesalah' untuk sesi tarbiyah di tanah perkuburan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

Menurutnya, beliau juga akan menjalankan kaedah sama untuk mencegah maksiat melalui jaringan pertubuhan baharu itu – dengan membawa pesalah khalwat ke kubur untuk sesi tarbiyah.

Beliau mendakwa usaha pencegahan maksiat dijalankan pertubuhan itu menerima banyak sokongan oleh banyak pihak yang mahu pertubuhan itu kembali aktf.

Tambahan pula, gejala sosial di Sungai Petani kini semakin meningkat sehingga golongan remaja Islam berani melakukan maksiat tanpa rasa malu dan takut, dakwanya.

“Mereka (orang awam) jumpa kami menangis dan bertanya bila Skuad Badar nak mulakan operasi semula? Mereka tidak sanggup melihat anak bangsa berpelukan di kawasan awam. 

“Dulu ketika Skuad Badar aktif, remaja Sungai Petani tidak berani lakukan aktiviti maksiat. Tetapi sekarang, maksiat semakin meningkat dan mereka lakukannya terang-terangan,” tambahnya.

Usaha cegah maksiat dilakukan Skuad Badar melibatkan serbuan ke bilik hotel yang dianggap pihak berkuasa melanggar undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

Azhar mendakwa perkara itu berlaku sejak Skuad Badar dihalang daripada menjalankan operasi pencegahan khalwat sejak Januari lalu apabila beliau ditahan untuk siasatan

Dakwanya, operasi mencegah maksiat itu semakin longgar apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri.

Dakwanya, perkara itu dapat dikesan apabila melihat lebih banyak kereta diparkir di luar hotel

“Sejak kerajaan baharu ambil alih pun, bukan semakin kurang (aktiviti maksiat) tetapi semakin hebat. 

“Contohnya, di hotel-hotel ketika kami aktif, kenderaan semakin kurang parkir di situ tetapi kini semakin banyak. 

“Menurut laporan ahli kami, pelajar sekolah juga ada yang terlibat. Mereka masuk ke hotel jam 5 pagi dan apabila tiba waktu sekolah, mereka keluar untuk ke sekolah pula,” dakwanya.

Beliau mendakwa perkara itu berlaku kerana pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) tidak agresif dalam mencegah khalwat.

“(JHEAIK) masih melakukan operasi tetapi hanya pada waktu pejabat dan waktu malam hanya sebulan sekali. Sedangkan aktiviti maksiat ini, waktu siang dan malam ada,” katanya.

Pertubuhan itu menjalankan operasi mencegah khalwat dengan membawa individu yang ditahan akibat kesalahan itu ke kubur untuk diberi ceramah motivasi.

Namun, pihak berkuasa menyifatkan badan sukarelawan cegah maksiat itu sebagai keterlaluan kerana tidak mengikut lunas undang-undang.  – 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen