MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sepatutnya tahu tindakan yang perlu beliau dilakukan sekiranya ada nilai diri, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, penyebaran rakaman seks yang dituduh mengaitkan Azmin itu melibatkan moral beliau sebagai pemimpin.
“Ini adalah mengenai moral, dia harus tahu apa yang patut dilakukan,” kata Mohamad ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri beliau di Kampung Tanjung di Rantau, Negeri Sembilan hari ini.
Mohamad diminta mengulas desakan termasuk dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan yang mahu Azmin bercuti sementara polis menyelesaikan siasatan berhubung penyebaran rakaman intim dua lelaki awal minggu ini.
“Perdana menteri individu yang boleh putuskan berkenaan kedudukan beliau di Kabinet.
“Kita boleh bagi pandangan dan pandangan saya kalau ada nilai moral dan diri, beliau perlu ambil keputusan yang tepat untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Polis semalam menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, ahli PKR yang membuat pengakuan mendakwa Azmin berhubungan seksnya di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. Beliau mendedahkan mereka sudah berhubungan beberapa kali sejak tiga tahun lalu.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu yang beliau sifatkan sebagai fitnah jahat mahu meruntuhkan masa depan politiknya.
Beliau juga menolak desakan supaya bercuti kerana berpegang pada teguran Dr Mahathir supaya rakyat menolak politik kotor sementara fokus kerajaan ialah memenuhi mandat rakyat daripada pilihan raya umum lalu.
Pada Rabu lalu, Dr Mahathir menyifatkan penyebaran klip rakaman yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik sementara PKR mengulangi penegasan menolak budaya politik fitnah.
Haziq, 27, yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki melalui WhatsApp pada Selasa lalu.
Sehari selepas penyebaran rakaman itu, sepotong video didakwa pengakuan Haziq dimuat naik ke akaun Facebook atas namanya. Haziq kemudian membuat laporan polis mengesahkan pengakuannya.
Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).
Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Beliau ditahan semasa cuba meninggalkan Malaysia untuk berlepas ke Manila petang semalam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. – 14 Jun, 2019
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan