Haziq cuba tinggalkan Malaysia, kata polis


Haziq Abdullah Abdul Aziz ditahan semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa klia2 dan dijadualkan berlepas ke Manila.– Gambar EPA, 14 Jun, 2019

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang menuduh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali terlibat dalam skandal seks dengannya, ditangkap polis petang tadi ketika cuba berlepas ke luar negara.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Haziq ditahan semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa.

“Berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadualkan berlepas ke Manila,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Lewat petang tadi, Huzir mengesahkan Haziq ditahan di KLIA dan berkata akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya.

Haziq, 27, disahkan ditahan lebih kurang pukul 6 petang oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki melalui WhatsApp pada Selasa lalu.

Sehari selepas penyebaran rakaman itu, sepotong video didakwa pengakuan Haziq dimuat naik ke akaun Facebook atas namanya.

Haziq kemudian membuat laporan polis mengesahkan pengakuannya.

Menurut Huzir, Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Azmin kelmarin menafikan tuduhan bahawa beliau adalah lelaki dalam rakaman intim yang tersebar, yang beliau sifatkan cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR  juga menegaskan menolak budaya politik kotor dan menggesa penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu dihentikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan penyebaran klip rakaman yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik. – 14 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen