Polis tahan Haziq di KLIA


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang menuduh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali terlibat dalam skandal seks dengannya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang ini, kata sumber.

Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed yang dihubungi The Malaysian Insight malam ini mengesahkan Haziq ditahan di KLIA pukul 5.30 petang tadi.

“Satu kenyataan media akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Beliau sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight, siasatan kes itu dijalankan oleh sebuah pasukan khas. Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan kenapa dan mengikut undang-undang mana Haziq ditahan.

Kelmarin, ketua Pemuda PKR Santubong itu membuat pengakuan beliau adalah salah seorang lelaki dalam rakaman intim dua lelaki yang tersebar di media sosial awal minggu ini.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan kepastian sebab Haziq ditahan.

Haziq semalam membuat laporan polis menafikan pengakuannya bermotifkan politik.

Azmin kelmarin menafikan tuduhan bahawa beliau adalah lelaki dalam video intim yang tersebar, yang beliau sifatkan cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR juga menegaskan menolak budaya politik kotor dan menggesa penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Azmin dihentikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan penyebaran klip video yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik.

Haziq kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Semalam, setiausaha politik kepada Azmin, Hilman Idham membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman seks yang dituduh membabitkan menteri itu.

Beliau juga membuat laporan jenayah qazaf atau tuduhan hubungan seks tanpa bukti di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Putrajaya.

Hari ini, Hilman membuat satu lagi laporan polis mendakwa Haziq mengaku bahawa beliau mangsa permainan politik kotor.

Hilman juga menafikan dakwaan bahawa beliau mengugut Haziq supaya menarik balik tuduhan terhadap Azmin dalam satu pertemuan mereka di sebuah hotel di Putrajaya pada Selasa.

Polis hari ini mengambil keterangan Hilman.

Polis juga malam tadi menahan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam untuk siasatan susulan laporan polisnya mengenai penyebaran rakaman seks yang sama. Lokman mempertikaikan penahanannya. Beliau dibebaskan pagi tadi dengan ikat jamin polis. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen