Kumpulan penyokong reformasi desak Azmin bercuti


SM Amin

KUMPULAN penyokong gerakan reformasi, Otai Reformis 1998 menuntut agar Mohamed Azmin Ali bercuti sementara siasatan melibatkan sebaran video seks didakwa memaparkan menteri tersebut selesai.

“(Tindakan bercuti daripada jawatan menteri) bertujuan menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya,” kata pengerusi kumpulan itu, Idris Ahmad dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Kumpulan itu juga curiga dengan sikap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kesangsian ke atas kesahihan rakaman video seks didakwa memaparkan Azmin.

Idris juga mendakwa Dr Mahathir menunjukkan layanan berbeza kepada Azmin kerana masih tidak memecat timbalan presiden PKR itu daripada jawatan kerajaan apabila timbul tuduhan seks.

Sedangkan, Dr Mahathir segera memecat Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri apabila timbul dakwaan seks serupa dalam kejadian 20 tahun lalu, dakwanya.

“Tindakan Dr Mahathir amat berbeza pada tahun 1998 apabila Anwar dipecat dan dihukum sebelum siasatan polis dibuat dan mahkamah menjatuhkan hukuman.

“Tetapi pada tahun 2019 kenyataan Dr Mahathir amat berbeza dan berlainan sungguh.

“Otai berharap Dr Mahathir tidak bersikap double standard dan berat sebelah dalam mengadili isu video tersebut,” katanya dalam sidang media tersebut.

Tindakan Dr Mahatir memecat Anwar pada 1998 atas tuduhan salah guna kuasa dan juga tuduhan seks itu merupakan pencetus kepada gerakan reformasi pada tahun tersebut.

Dr Mahathir pada Rabu lalu menyifatkan sebaran video lucah didakwa memaparkan Azmin itu sebagai serangan kotor oleh musuh politik.

“Perkara ini dibuat oleh mereka yang mempunyai agenda politik. Saya tidak rasa ia tulen,” katanya yang percaya video dan rakaman gambar tersebut boleh direka-reka.

Rakaman video berkenaan disebarkan pada awal pagi Selasa lalu melalui kumpulan sembang WhatsApp.

Di Facebook, satu akaun didakwa sebagai Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa mengakui sebagai individu dipaparkan melakukan seks dalam rakaman tersebut.

Satu rakaman didakwa memaparkan pengakuan Haziq dimuatkan di laman tersebut pada Rabu.

Tulisan di laman Facebook tersebut turut semalam mendakwa melakukan perbuatan seks dengan Azmin itu dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Azmin pada Rabu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit melakukan seks terbabit dan menyifatkannya usaha kejam dengan niat jahat untuk memusnahkah karier politiknya.

Haziq adalah ketua Pemuda PKR Santubong di Sarawak. Beliau kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga ketua penerangan PKR. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen