Azmin yakin kebenaran akan terbukti


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yakin kebenaran akan terbukti dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Jun, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yakin kebenaran pasti akan terbukti dan dugaan yang beliau hadapi selepas dituduh terlibat dalam skandal seks akan dapat diatasi.

Dalam mesej kepada rakan-rakan dan penyokongnya, timbalan presiden PKR itu menyifatkan apa yang berlaku minggu ini sebagai tempoh yang paling mencabar.

“Terima kasih atas kata-kata semangat, ingatan dan doa.

“Saya amat bersyukur atas sokongan dan perhatian yang ditunjukkan kepada saya sepanjang tempoh yang paling mencabar ini, tetapi yakinlah kebenaran akan tiba dan kita akan mengatasinya.

“Kepada Allah kita berserah,” tulisnya di Twitter.

Polis semalam menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, ahli PKR yang membuat pengakuan mendakwa Azmin berhubungan seksnya di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. Beliau mendedahkan mereka sudah berhubungan beberapa kali sejak tiga tahun lalu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu yang beliau sifatkan sebagai fitnah jahat mahu meruntuhkan masa depan politiknya.

PKR  juga menegaskan menolak budaya politik kotor, sementara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip rakaman yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik.

Azmin semalam mengunjungi Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di pejabatnya di Putrajaya, selepas tokoh agama itu menawarkan empat nasihat kepada umat Islam dalam menghadapi fitnah.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan @drzul_albakri untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas.

“Pertemuan petang semalam memperkukuh semangat saya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara,” tulis Azmin dalam satu tweet yang lain.

Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau ditahan semasa cuba meninggalkan Malaysia untuk berlepas ke Manila petang semalam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Haziq kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Semalam, polis turut mengambil keterangan Shamsul, yang juga ketua Penerangan PKR. Shamsul mengesahkan beliau memberikan keterangan kepada polis hampir lima jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. – 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen