Isu video dikaitkan menteri: Mufti Wilayah Persekutuan beri empat nasihat


Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menawarkan empat nasihat kepada umat Islam dalam menghadapi isu penyebaran klip video seks hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, sejak awal minggu ini. – Gambar Facebook, 14 Jun, 2019.

MUFTI Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menawarkan empat nasihat kepada umat Islam dalam menghadapi isu penyebaran klip video seks hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, sejak awal minggu ini.

Katanya, beliau terpanggil untuk memberikan pandangan selepas gusar memikirkan pelbagai masalah yang bakal menimpa umat Islam di Malaysia susulan penyebaran klip video itu.

“Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Empat nasihat itu menyentuh pengajaran menghadapi fitnah daripada peristiwa tohmahan terhadap isteri Rasulullah, Aishah r.a, bahaya fitnah, qazaf dalam konteks tuduhan liwat, dan keutamaan tabayyun atau meneliti dalam menerima dan menyampaikan berita.

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan empat buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi,” katanya.

Zulkifli menyarankan umat Islam agar sentiasa bermuhasabah dengan menginsafi bahawa setiap perbuatan mereka akan dihitung oleh Allah di akhirat nanti.

“Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kelmarin menafikan tuduhan beliau terlibat dalam rakaman video intim yang tersebar sejak awal Selasa lalu.

Beliau menyifatkannya cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR selepas mesyuarat biro politiknya mengulangi penegasan menolak budaya politik kotor dan menggesa penyebaran video intim yang dikaitkan dengan timbalan presiden parti itu dihentikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan penyebaran klip video yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik.

Tuduhan terhadap Azmin dibuat oleh ahli PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz yang membuat pengakuan melalui video beliaulah lelaki dalam rakaman video seks yang tersebar itu.

Haziq adalah setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Ketua Penerangan PKR.

Haziq mendakwa video itu dirakamkan di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu semasa kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

Dalam pengakuannya, beliau menuduh Azmin tidak layak jadi pemimpin dan menggesa agensi anti rasuah menyiasat menteri kanan itu.

Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham semalam membuat laporan polis di Putrajaya.

Beliau juga membuat satu laporan qazaf di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa agama menyiasat penyebaran video berkenaan.

Haziq kemudian membuat satu laporan polis di Kelana Jaya menafikan pendedahannya bermotifkan politik.

Haziq digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Shamsul sementara menunggu tunjuk sebab yang diberikan kepadanya sehingga hari ini. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen