Wartawan Turki tinggalkan Malaysia selepas disoal siasat Jawi


Sheridan Mahavera

Mustafa Akyol wartawan dan penulis terkenal meninggalkan Malaysia selepas disoal siasat Jawi semalam dan forum yang sepatutnya dihadirinya dibatalkan tengah hari tadi. – Gambar YouTube, 25 September, 2017.

SEORANG wartawan terkenal Turki meninggalkan Malaysia hari ini, selepas dia dipanggil soal siasat oleh pihak berkuasa agama kerana terlibat dalam sebuah forum mengenai Kristian dan Islam di Kuala Lumpur.

Mustafa Akyol dijadualkan bercakap mengenai topik “The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christians and Islam”, di kampus Nottingham Universiti Malaysia tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Mustafa dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Ahad lalu untuk disoal siasat kerana melanggar Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah. Hari ini, Jawi meminta forum itu ditangguhkan.

Penganjur forum itu, Dr Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front (IRF) juga dipanggil untuk memberi keterangan oleh Jawi hari ini.

Mustafa disoal siasat kerana melanggar Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) sementara Farouk pula perlu menjawab tuduhan yang dia sengaja bersubahat dengan wartawan itu, satu kesalahan di bawah Seksyen 43 undang-undang yang sama.

Farouk memberitahu The Malaysian Insight petang ini yang “Mustafa telah meninggalkan Malaysia hari ini”, tanpa menjelaskan bilakah penulis berpangkalan di Amerika Syarikat itu keluar daripada negara ini.

Farouk enggan mengulas sama ada Mustafa atau dia telah pergi ke pejabat JAWI hari ini untuk soal siasat.

Forum di Nottingham University Malaysia itu dijadualkan berlangsung tengah hari tadi tetapi dibatalkan saat-saat akhir.

Mengulas pembatalan itu, Farouk berkata keputusan itu diambil selepas berbincang dengan pihak universiti.

“Kami merasakan sangat rugi kerana Jawi menganggap topik itu kontroversi sedangkan ia boleh digunakan untuk menyemai kefahaman antara agama,” kata Farouk.

Mustafa sudah berada di negara ini sejak hujung minggu untuk menghadiri beberapa program IRF termasuklah ceramah tentang murtad dalam Islam dan relevan demokrasi.

Wartawan berpangkalan di Amerika Syarikat itu adalah penulis terkemuka mengenai isu dan politik Islam dan penulisannya kerap kali diterbitkan akhbar Turki, Hurriyet Daily News,  serta media antarabangsa The New York Times dan media atas talian Al-Monitor.com.

Beliau sudah menerbitkan enam buah buku termasuk  “Islam Without Extreme: A Muslim Case for Liberty”, yang sudah diterjemah ke dalam Bahasa Turki, Bahasa Malaysia dan Indonesia.

Buku terbarunya bertajuk “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

Kontroversi menyelubungi forum tengah hari tadi timbul selepas beberapa kumpulan Islam didakwa memainkan isu “Kristianisasi” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Majlis IRF serta penceramah dan aktivis seringkali menjadi sasaran pihak berkuasa agama negara ini.

Bulan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menuduh sarjana Islam Indonesia Mun’im Sirry membawa ajaran salah ke dalam negara ini.

Mun’im adalah salah seorang penceramah dalam sebuah forum anjuran IRF tentang kesederhanaan dalam Quran yang turut menampilkan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada 2014, pihak berkuasa menghalang masuk ahli teologi Indonesia, Ulil Abshar Abdalla daripada memasuki Malaysia untuk menghadiri forum IRF. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen