Penganjur tangguh forum Islam-Kristian pada saat akhir


Sheridan Mahavera

Notis penangguhan forum yang ditampal pada pintu masuk pusat pembelajaran Universiti Nottingham Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 September, 2017.

FORUM berkenaan Kristian dan Islam ditangguhkan pada saat akhir hari ini selepas terdapat laporan mengatakan penganjurnya dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Islamic Renaissance Front (IRF) terdahulu memberitahu The Malaysian Insight akan meneruskan forum “The Islamic Jesus: The Commonalities Between Judaism, Christianity, and Islam” mengetengahkan ahli panel iaitu wartawan Turki Mustafa Akyol, dipanggil oleh Jawi kerana didakwa memberi ceramah tanpa kebenaran jabatan itu. 

Jawi turut memanggil Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa, yang menjemput Akyol ke Malaysia untuk disoal siasat.

Peserta yang tiba di pusat pembelajaran Universiti Nottingham Malaysia di Jalan Conlay di Kuala Lumpur hari ini disambut dengan satu kenyataan pada pintunya bahawa forum itu ditangguhkan.

Penyambut tetamu di pusat pembelajaran itu memberitahu The Malaysian Insight penangguhan itu dibuat pada saat akhir oleh penganjur.

Terdahulu, Akyol yang merupakan wartawan berpangkalan di Amerika Syarikat, pernah diundang dalam beberapa program anjuran IRF sejak minggu lalu termasuk yang berkaitan buku terbarunya yang berjudul “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

The Malaysian Insight kini cuba menghubungi IRF untuk maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu Jawi dilaporkan memanggil Akyol untuk disoal siasat di pejabatnya hari ini. 

Menurut laporan portal Free Malaysia Today Akyol akan disoal siasat di bawah Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) kerana kesalahan mengajar agama tanpa tauliah daripada pihak berkuasa agama.

Farouk turut disoal siasat kerana didakwa bersubahat dengan Akyol di bawah Seksyen 43 akta yang sama. – 25 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen