ITBM akan bayar semua hutang, kata Maszlee


Nabihah Hamid Ragananthini Vethasalam Andrew Chin

Institut Terjemahan Buku Malaysia sedang meneroka pelbagai inisiatif baru untuk menambah pendapatan, termasuk kerjasama yang dijalin dengan Pos Malaysia Berhad baru-baru ini. – Gambar Facebook, 16 Mei, 2019.

INSTITUT Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) akan menyelesaikan semua hutangnya, termasuk hutang yang ditanggung daripada projek Kedai Buku 1Malaysia (KB1M), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

KB1M ialah projek kedai buku ilham bekas perdana menteri Najib Razak yang terbengkalai setelah mengalami masalah kewangan dan sehingga ini dilaporkan menanggung hutang kepada penerbit buku sehingga hampir RM3 juta.

“Sekarang ITBM dalam usaha untuk mempelbagaikan usaha kreatif menjana pendapatan insya-Allah kalau mereka boleh mendapatkan pendapatan yang lebih, hutang mesti dibayar.

“ITBM dengan barisan lembaga  baru sedang melihat cara untuk usaha-usaha menambahkan pendapatan ITBM dan menyelesaikan hutang,” kata Maszlee dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Maszlee bagaimanapun tidak menetapkan sasaran bila hutang tertunggak itu akan diselesaikan.

Beliau juga enggan menjawab adakah kementerian berhajat untuk meminta bantuan Kementerian Kewangan untuk suntikan dana menyelesaikan hutang.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan ITBM antara agensi di bawah Kementerian Pendidikan yang akan ditutup dan fungsinya dipindahkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai antara langkah penjimatan kos kerajaan.

Maszlee bagaimanapun menafikan ITBM akan ditutup.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberi jaminan Institut Terjemahan Buku Malaysia akan melunaskan semua hutang yang ditanggungnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Mei, 2019.

Katanya, ITBM sedang meneroka pelbagai inisiatif baru untuk menambah pendapatan, termasuk kerjasama yang dijalin dengan Pos Malaysia Berhad baru-baru ini.

“Ia merupakan salah satu daripada pendekatan kreatif dan saya yakin dihari-hari mendatang akan banyak lagi pendekatan kreatif  yang mereka akan lakukan untuk jana pendapatan,” katanya.

Awal tahun ini, The Malaysian Insight melaporkan ITBM menunggu dana RM1 juta daripada syarikat penerbitan MPH Group Malaysia Sdn Bhd (MPH) sebagai tanggungan hutang bersama bagi hutang tertunggak KB1M.

MPH dilaporkan telah secara lisan bersetuju untuk menanggung hutang berjumlah hampir RM2.8 juta setakat 31 Mac 2018, hasil perbincangan antara ITBM dan syarikat penerbitan itu yang disertai Kementerian Pendidikan pada 14 Februari tahun lalu.

Najib melancarkan KB1M pada September 2012 sebagai inisiatif membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran.

KB1M mempunyai lima cawangan yang beroperasi di pusat transformasi bandar (UTC) di Ipoh, Kuantan, Alor Setar dan Gong Badak, serta di pejabat ITBM di Kuala Lumpur.

Ia dikendalikan oleh ITBM sebagai syarikat berkaitan kerajaan milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan dikawal selia pengurusan Kementerian Pendidikan.

Sehingga hari ini KB1M masih berhutang dengan beberapa syarikat penerbit buku kecil sehingga hari ini, setahun selepas projek kedai buku itu terbengkalai.

Akibat kerugian dan keadaan kewangan yang tenat, kedai buku itu ditutup secara berperingkat-peringkat, dengan cawangan terakhirnya di pejabat ITBM yang terakhir ditutup pertengahan Disember tahun lalu. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen