Agensi Kementerian Pendidikan dirombak untuk jimat kos


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Institut Pendidikan Guru merupakan antara agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan dirombak dalam pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan untuk jimatkan kos kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2019

INSTITUT Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) antara beberapa agensi, bahagian dan projek di bawah Kementerian Pendidikan yang akan dirombak semula dalam pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan bagi menjimatkan kos kerajaan, kata sumber.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan ada usaha dalam Kementerian Pendidikan untuk cuba mengekalkan dua institusi itu daripada dikecilkan atau ditutup.

Sumber memberitahu pelan rasionalisasi untuk menjimatkan kos ini datangnya dari Kementerian Kewangan dan melibatkan enam agensi, bahagian dan projek Kementerian Pendidikan.

Selain IPG dan ITBM, agensi dan bahagian terlibat ialah Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu), dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Selebihnya, dua projek Kementerian Pendidikan iaitu Bestari 1Net serta kontrak kawalan keselamatan dan pembekalan makanan, yang kedua-duanya akan disemak semula.

Seorang sumber memberitahu pelan rasionalisasi itu dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan melalui sepucuk surat awal Mac lalu, yang salinannya turut dilihat oleh The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber pegawai kanan di Kementerian Pendidikan mengesahkan beberapa entiti di bawah kementerian itu dicadang supaya ditutup oleh Kementerian Kewangan.

“Kita sedang cuba cari jalan untuk pastikan beberapa entiti ini kekal. Kita akan pertahankan.

“Ada beberapa entiti yang (Kementerian Kewangan) suruh tutup. Itu hanya pandangan dan cadangan,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang dihubungi berkata pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan itu secara prinsipnya baik untuk melihat keberkesanan agensi terlibat.

“Kita hanya nak melihat keberkesanan agensi mana yang tidak memberi keuntungan, kita nak gabung.

“Proses itu MOF sedang teliti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight juga difahamkan pelan rasionalisasi yang sama dicadangkan terhadap beberapa agensi lain di bawah kementerian-kementerian lain, berdasarkan surat berkenaan yang ditujukan kepada semua ketua setiausaha kementerian.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan itu secara prinsipnya baik untuk melihat keberkesanan agensi terlibat.– Gambar The Malaysian Insight, 5 April, 2019

Khusus bagi agensi-agensi di bawah Kementerian Pendidikan, melalui pelan itu, Kementerian Kewangan mahu menutup Padu dan peranannya diambil alih secara dalaman oleh Kementerian Pendidikan.

Padu yang ditubuhkan pada Mac 2013 bertujuan memantau pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

IPG, yang melatih bakal guru sekolah rendah, pula akan dikurangkan secara berperingkat, dan peranannya diambil alih institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus perguruan.

Pada masa ini ada 27 IPG di seluruh Malaysia yang dinaikkan taraf oleh kerajaan pada 2005 daripada status maktab. Guru lulusan IPG memiliki ijazah sarjana muda dan bukan lagi diploma atau sijil.

ITBM pula akan ditutup dan peranannya menjalankan kerja-kerja penterjemahan dan penerbitan buku akan diambil alih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan.

The Malaysian Insight difahamkan ITBM kini menanggung liabiliti lebih RM6 juta sejak empat tahun lalu, yang terkumpul sejak kerajaan memberi mandat kepadanya pada 2011 untuk menerbitkan buku karya asli dan tidak lagi hanya terjemahan.

1Bestari Net, projek membekalkan kemudahan Internet untuk sekolah kerajaan yang diberikan kepada YTL Communications Sdn Bhd, pula akan dibuka tendernya kepada syarikat telekomunikasi lain.

The Malaysian Insight difahamkan ITBM kini menanggung liabiliti lebih RM6 juta sejak empat tahun lalu, yang terkumpul sejak kerajaan memberi mandat kepadanya pada 2011 untuk menerbitkan buku karya asli dan tidak lagi hanya terjemahan. – Gambar Facebook, 5 April, 2019

Projek bernilai RM4.45 bilion itu dimulakan pada 2011 untuk tempoh 15 tahun. Laporan sebelum ini menyebut Kementerian Pendidikan tidak berpuas hati dengan pelaksanaan projek itu oleh YTL.

Pada Disember lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberitahu Dewan Rakyat pihaknya sedang menyemak keberkesanan projek Bestari 1Net antaranya dari aspek keperluan jalur lebar untuk sekolah pada masa depan.

Di bawah pelan rasionalisasi yang sama juga, Kementerian Pendidikan diminta memperbaharui kontrak pembekalan khidmat kawalan keselamatan dan makanan, dengan memasukkan terma-terma baru kontrak yang tidak merugikan kerajaan.

Selepas mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional hampir setahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan merombak beberapa agensi kerajaan, termasuk menutup dan mengecilkan operasi terutamanya yang melibatkan lantikan politik.

Antara agensi yang dirombak ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubar dan fungsinya dipindahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Kerajaan juga membubarkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). – 5 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen