Persatuan penerbit tuntut Putrajaya selesaikan hutang KB1M


Nabihah Hamid

PENERBIT buku yang menagih hutang dari Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) mendesak Putrajaya menyelesaikan segera baki bayaran mereka yang masih belum dijelaskan sejak tiga tahun lalu.

Kementerian Kewangan setakat ini tidak memberikan sebarang penyelesaian kepada isu tertunggak itu, kata Jawatankuasa  Khas Tuntutan Hutang KB1M.

Kementerian sebaliknya hanya menjelaskan syarikat milik kerajaan Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM) masih menunggu dana RM1 juta daripada syarikat penerbitan MPH Group Malaysia Sdn Bhd (MPH) sebagai tanggungan hutang bersama.

“Kita tidak pernah tahu tentang MPH perlu tanggung hutang,” kata pengerusi jawatankuasa Arief Hakim Sani Rahmat kepada The Malaysian Insight.

Jawatankuasa itu disertai 17 syarikat penerbit buku yang mempunyai jumlah terkumpul hutang daripada KB1M sebanyak RM1.4 juta.

Awal minggu ini, Kementerian Kewangan dalam sepucuk surat kepada jawatankuasa itu menjelaskan projek KB1M adalah milik bersama antara ITBM dan MPH yang berkongsi pegangan masing-masing 50 peratus kedai buku itu.

Surat bertarikh 14 Januari 2019 itu, yang salinannya dilihat The Malaysia Insight, menyatakan MPH telah secara lisan bersetuju untuk menanggung hutang berjumlah hampir RM2.8 juta setakat 31 Mac 2018.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara ITBM dan MPH yang disertai Kementerian Pendidikan pada 14 Februari tahun lalu.

Arief bagaimanapun menegaskan surat Kementerian Kewangan itu tidak menyelesaikan isu sebaliknya hanya menjelaskan latar belakang masalah dan kedudukan hutang yang ditanggung oleh KB1M.

Kementerian Kewangan hanya menjelaskan syarikat milik kerajaan Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM) masih menunggu dana RM1 juta daripada syarikat penerbitan MPH Group Malaysia Sdn Bhd (MPH) sebagai tanggungan hutang bersama.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2019.

“Kita harap pihak kerajaan dapat berbincang untuk menyelesaikan masalah hutang cecah jutaan ringgit ini. 

“Mereka sepatutnya buat perancangan jadual pembayaran balik supaya semua penerbit tidak lagi tertindas. 

“Kami mahu penyelesaian yang kukuh. Jawapan kerajaan sangat kabur dan tidak jelas,” katanya.

The Malaysian Insight sedang berusaha mendapatkan reaksi MPH.

Akhir tahun lalu, The Malaysian Insight melaporkan KB1M masih berhutang dengan beberapa syarikat penerbit buku kecil sehingga hari ini, setahun selepas projek kedai buku ilham bekas Perdana Menteri Najib Razak itu terbengkalai.

Najib melancarkan KB1M pada September 2012 sebagai inisiatif membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran. KB1M mempunyai lima cawangan yang beroperasi di pusat transformasi bandar (UTC) di Ipoh, Kuantan, Alor Setar dan Gong Badak, serta di pejabat ITBM di Kuala Lumpur.

Ia dikendalikan oleh ITBM sebagai syarikat berkaitan kerajaan milik Menteri Kewangan Diperbadankan dan dikawal selia pengurusan Kementerian Pendidikan.

Akibat kerugian dan keadaan kewangan yang tenat, kedai buku itu ditutup secara berperingkat-peringkat, dengan cawangan terakhirnya di pejabat ITBM yang terakhir ditutup pertengahan Disember tahun lalu.

Susulan laporan itu, pemangku Pengurus Urusan ITBM, Sakri Abdullah memberitahu The Malaysian Insight pihaknya sudah beberapa kali berjumpa dengan Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik untuk membincangkan penyelesaian isu hutang tersebut.

ITBM sebelum ini pernah memohon dana RM3 juta daripada Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional untuk pemulihan urus niaga KB1M dan penyelesaian keseluruhan hutangnya sebanyak RM2.8 juta.

Menurut Arief, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan semua penerbit terlibat tidak lama lagi untuk menyusun tindakan mereka seterusnya.

“Kita amat berharap perkara ini dapat diselesaikan segera. Mereka sudah tangguh hingga tiga tahun,” katanya, sambil menjelaskan bahawa hutang yang tidak dibayar itu adalah bagi buku yang sudah dijual oleh KB1M sehingga 2016.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka (KB1M) uruskan kewangan,” katanya. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen