Pengusaha KB1M rayu dana langsai hutang RM3 juta


Nabihah Hamid

Kedai KB1M di bangunan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang terakhir ditutup pada pertengahan Disember 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2019.

PENGUSAHA Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang ditutup lebih dua tahun lalu memohon bantuan kewangan kerajaan untuk melunaskan hutang tertunggak berjumlah RM3 juta.

KB1M yang diuruskan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) memohon bantuan sejak awal tahun lalu untuk membayar hutang itu, terutamanya kepada penerbit buku.

Pengurus besarnya Sakri Abdullah berkata ITBM beberapa kali berjumpa dengan menteri baharu Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik untuk menyelesaikannya.

Terdahulu, ITBM memohon dana RM3 juta daripada menteri pendidikan ketika itu, Mahzir Khalid untuk pemulihan urus niaga KB1M dan penyelesaian hutang RM2.8 juta.

“Setelah bertukar kerajaan, beberapa pembentangan diadakan dengan menteri pendidikan (Maszlee) dan sehingga kini beliau banyak membantu ITBM, namun belum dapat menyelesaikan semua masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

KB1M ditubuhkan pada 2012. Pemiliknya adalah ITBM bersama rakan kongsi MPH Group Malaysia Sdn Bhd.

ITBM juga syarikat kerajaan di bawah kementerian Kewangan diperbadankan (GLC) dan kawal selia pengurusan Kementerian Pendidikan.

Akibat kerugian dan keadaan kewangan yang tenat, kedai tersebut ditutup secara berperingkat, sehinggalah ditutup sepenuhnya pada 31 Oktober, 2017.

Sakri yang juga memangku pengarah urusan menjelaskan keadaan kewangan KB1M tenat disebabkan penubuhan 6 cawangan seluruh negara yang mendadak.

Mereka juga menanggung harga sewa premis yang mahal di kompleks pusat transformasi bandar (UTC), katanya.

“KB1M juga memberikan potongan diskaun sebanyak 15% setiap masa selain tidak mendapat bantuan kerajaan secara berterusan,” katanya.

KB1M dilancarkan pada September 2012 dengan tujuan membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2019.

Selain memohon dana rakyat, Sakri berkata ITBM juga berbincang dengan rakan kongsinya MPH untuk mendapatkan suntikan dana.

“Ada perbincangan antara ITBM dan MPH pernah dilakukan untuk penyelesaian hutang berdasarkan dana yang dipersetujui.

“Namun sehingga kini, tiada suntikan dana sama ada daripada rakan usaha sama, mahu pun kerajaan untuk penyelesaian tersebut,” katanya.

Beliau berkata ITBM juga memberi maklum balas status KB1M kepada Kementerian Kewangan.

Antara pihak yang menunggu bayaran ialah penerbit bebas yang membekalkan banyak naskhah buku kepada kedai yang diilhamkan bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Mereka masih belum menerima sebarang bayaran dan kalangan penerbit tersebut juga sudah memulakan tindakan saman.

Antaranya ialah syarikat Lejen Press yang masih menunggu bayaran RM70,500 sejak 2016.

“Kita sudah dapat kesan awal perkara ini (masalah KB1M) berlanjutan. Mujur kita henti bekalkan buku pada 2016. Kalau tidak boleh cecah ratus ribu,” kata pengasasnya Aisamuddin Asri.

Najib melancarkan KB1M pada September 2012 dengan tujuan membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran.

Kedai itu kebanyakannya beroperasi di UTC di serata Malaysia.

Selain Lejen Press, KB1M juga dilaporkan berhutang RM104,930 kepada Fixi, RM62,000 kepada Magfirah Pustaka dan RM260,000 kepada Kumpulan Media PTS. – 11 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen