Projek kedai buku Najib terbengkalai, penerbit terus tanggung hutang


Nabihah Hamid

Kedai Buku 1Malaysia menanggung hutang, dan salah satu premis terletak di Wangsa Maju dilaporkan diambil alih oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2018.

KEDAI Buku 1Malaysia (KB1M) masih berhutang dengan beberapa syarikat penerbit buku kecil sehingga hari ini, setahun selepas projek kedai buku ilham bekas Perdana Menteri Najib Razak itu terbengkalai.

Syarikat penerbit terlibat kini meminta Pakatan Harapan (PH) campur tangan menyelesaikan hutang itu sebagai kerajaan baru yang mewarisinya daripada kerajaan lama Barisan Nasional (BN).

Ada juga yang bertanya, kalau kerajaan sekarang boleh tanggung hutang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kenapa ia buat tidak tahu dengan hutang KB1M kepada penerbit buku.

“Kita harap kerajaan akan bantu cari jalan penyelesaian,” kata pengasas Lejen Press, Aisamuddin Asri kepada The Malaysian Insight.

Syarikat itu, yang menerbitkan buku antaranya Awek Chuck Taylor tulisan Nami Cob Nobbler, mempunyai hutang RM70,500 yang belum dibayar oleh KB1M sejak 2016.

“Kita sudah dapat kesan awal perkara ini (masalah KB1M) berlanjutan. Mujur kita henti bekalkan buku pada 2016. Kalau tidak boleh cecah ratus ribu,” tambah Aisamuddin yang menulis dengan nama pena Aisa Linglung.

Najib melancarkan KB1M pada September 2012 sebagai inisiatif membolehkan rakyat membeli bahan bacaan dengan harga lebih murah di pasaran. Kedai itu kebanyakannya beroperasi di pusat transformasi bandar (UTC) di serata Malaysia.

Cawangannya di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur adalah yang terakhir ditutup pertengahan Disember tahun lalu, dengan tapak sama kini menempatkan Kedai Buku ITBM.

Penerbit-penerbit buku masih menunggu hutang daripada badan yang diilhamkan bekas perdana menteri Najib Razak – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2018.

“Kami pun ada berbincang dengan wakil KB1M pada Mac 2016. Mereka datang ke pejabat Lejen minta masa untuk buat bayaran. Waktu itu kita minta mereka jelaskan juga.

“Sehingga sekarang tak ada dengar khabar berita,” kata Aisamuddin.

Beliau juga memberitahu, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) kini dalam usaha mengumpulkan maklumat daripada semua penerbit terlibat untuk memudahkan urusan tuntutan hutang tersebut.

Media sebelum ini melaporkan KB1M berhutang lebih kurang RM3 juta kepada beberapa penerbit tempatan antaranya Fixi (RM104,930), Magfirah Pustaka (RM62,000) dan Kumpulan Media PTS (RM260,000), berdasarkan tuntutan mahkamah sebelum ini.

Dalam pada itu, pengasas Selut Press, Aloy Paradoks berkata, kedai buku inisiatif Najib itu terhutang dengan pihaknya sejak tiga tahun lalu.

“Kami hantar invois, tak dibayar. Tuntutan sekali kami buat hinggalah kedai tutup. Sekarang dah hampir tiga tahun tiada berita. Hutang masih ada RM10,000 dengan Selut Press,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas ketua pegawai eksekutif Dubook Press, Muthalib Uthman pula mendakwa KB1M berhutang dengan pihaknya lebih RM30,000, yang sampai hari ini mereka buntu mencari jalan penyelesaiannya selepas kali terakhir membuat tuntutan pada 2016.

“Kami harap pihak kerajaan akan ambil perhatian hal ini.

“Kalau boleh bayar hutang 1MDB, bayarlah hutang kami. Kami amatlah memerlukan wang,” katanya, yang juga mengadu banyak penerbit buku kini sudah gulung tikar kerana industri yang tenat.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan mengenai isu hutang tertunggak KB1M ini. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen