Kerajaan uji rantaian bekalan alternatif


Sheridan Mahavera Vasudevan Vamadevan

Daim Zainuddin berkata, terdapat rangkaian bekalan alternatif dalam sistem pengedaran makanan yang boleh menjatuhkan harga hasil segar untuk pengguna dan membantu memenuhi matlamat kerajaan Pakatan Harapan bagi mengurangkan kos sara hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Mei, 2019

TERDAPAT rangkaian bekalan alternatif dalam sistem agihan makanan yang boleh menurunkan harga produk segar bagi pengguna dan membantu memenuhi matlamat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan kos sara hidup, kata Daim Zainuddin.

Taikun perniagaan dan kini penasihat kerajaan itu berkata alternatif yang menggantikan pembekal konvensional atau ‘orang tengah’ ini berpotensi membekalkan sayuran, ikan dan daging kepada pengguna pada ‘harga borong’.

Pembekal alternatif yang turut terdiri daripada kumpulan individu dan koperasi, kini dalam peringkat ujian di Selangor untuk menghubungkan ladang dan pelabuhan nelayan dengan kedai runcit.

Kata Daim, jika projek ini berjaya di Selangor maka kerajaan boleh melaksanakannya di seluruh negara.

“Saya sudah buat kajian dan saya fikir ia dapat dilakukan,” kata Daim dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

Ketika menerangkan beberapa aspek pembekal alternatif ini katanya, beliau telah melihat di tempat tertentu yang sudah dilawati.

“Kawasan pendaratan (ikan), stesen minyak mini yang mempunyai bilik sejuk yang boleh menyimpan ikan dan sayuran.

“Ini satu perkara yang dapat kita mulakan tidak lama lagi untuk menunjukkan kepada orang bahawa kerajaan memenuhi janji dalam manifesto (menstabilkan harga barang),” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Kementerian Pertanian berkata, mereka sudah melakukan kajian mendalam mengenai barangan isi rumah dan rantaian bekalan makanan di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha menurunkan harga barang. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail pada Mac lalu memberitahu The Malaysian Insight yang kajian tersebut adalah untuk mengenal pasti faktor kos pada setiap peringkat rantaian bekalan makanan bermula dari pengeluaran hinggalah kepada pengangkutan, borong dan kemudian ke peringkat jualan.

Ini supaya kerajaan dapat menentukan sama ada terdapat eksploitasi harga dan amalan monopoli yang menyebabkan perubahan mendadak harga. – 11 Mei, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen