PAS masih terbuka bekerjasama dengan PKR Selangor


Amin Iskandar

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, parti Islam itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di Selangor kecuali DAP, Amanah dan BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 September, 2017.

MASIH ada ruang untuk bekerjasama dengan PKR walaupun PAS tiada hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, kata pemimpin PAS negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, parti Islam itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di negeri terkaya di Malaysia itu kecuali DAP, Amanah dan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Harapan sebagai sebuah blok itu, mungkin kita tidak akan ada kerjasama.

“Kita masih terbukalah dengan PKR sebagai sebuah parti. Kalau ada kepentingan Pakatan Harapan dia nak bawa, bawa melalui PKR lah agaknya.

“Sebab itu kita lihat kenyataan daripada Azmin contohnya adalah untuk ambil inisiatif PKR berjumpa dengan PAS,” kata Roslan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight, merujuk kepada Pengerusi PH Selangor Mohamed Azmin Ali.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan PAS membenarkan pemimpinnya di peringkat kawasan dan negeri untuk meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan parti pembangkang PKR dan Bersatu sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keputusan itu dibuat biarpun pendirian rasmi parti Islam itu ialah untuk tidak mengikat sebarang pertalian dengan PH yang dianggotai PKR dan Bersatu.

PH sebelum ini membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan PAS pada PRU14 dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru.

Roslan yang juga timbalan ketua penerangan PAS berkata, apa yang tidak mungkin berlaku ialah parti Islam itu bekerjasama dengan BN.

“Dengan Barisan Nasional memang tidak adalah sebab PAS akan bertanding di kerusi-kerusi Umno untuk melawan mereka.

“Dalam setiap pilihan raya PAS sudah pasti akan melawan Umno. Macam mana kita nak bekerjasama?” kata ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali antara pemimpin PKR yang masih bertegas membuka pintu kerjasama dengan PAS sehingga dikatakan menimbulkan krisis kepimpinan dalaman parti yang mengetuai pemerintahan Selangor itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2017.

16 September tarikh akhir

Roslan bagaimanapun berkata, PAS Selangor sebelum ini menetapkan 16 September sebagai tarikh akhir untuk berunding dengan parti-parti lain kerana jentera pilihan rayanya perlu digerakkan sebagai persediaan untuk PRU14.

“Selepas 16 September masih boleh tetapi makin kuranglah ruang untuk kita berbincang sebab sekarang hari-hari orang berkata tentang tarikh pilihan raya.

“Persediaan itu penting bagi kita,” katanya.

Menurut Roslan, PAS sudah mempersiapkan jentera untuk kerusi-kerusi yang bakal ditandingi mereka di Selangor.

“Sejak setahun kebelakangan ini, persediaan kita adalah untuk memantapkan jentera dan mengenalpasti kerusi-kerusi yang PAS seharusnya bertanding pada PRU14 di Selangor.

“Dulu masa PRU12 dan 13, kita ada hubungan dengan PKR dan DAP. Bila dah tak ada hubungan ini, PAS balik kepada kerusi tradisi, jadi kita buat persediaanlah,” katanya.

Minggu lalu Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata, parti Islam itu bersedia bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebanyak mungkin kerusi Parlimen untuk mencapai matlamat slogan pilihan rayanya “Menerajui Kesejahteraan Selangor”.

Kenyataan Sallehen itu diselar Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman yang mempersoalkan apakah niat parti Islam itu.

“Adakah PAS sengaja mahu beri ruang kepada Umno dan BN kembali berkuasa di Selangor?

“Dengan mengumumkan secara terbuka kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN, ini bermakna PAS bersedia untuk bertembung tiga penjuru,” katanya.

Sementara itu, Pemuda DAP Selangor mendesak Azmin selaku menteri besar memberikan tekanan kepada PAS dengan melakukan rombakan barisan exco negeri.

Setiausahanya Mohammad Firdaus Babh berkata Azmin sepatutnya merombak exco dengan menukar portfolio penting yang dipegang PAS seperti perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar atau pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi. – 20 September, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen