Azmin kena beri tekanan pada PAS, kata Dapsy Selangor


MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sepatutnya memberikan tekanan kepada PAS dengan melakukan rombakan barisan exco negeri, kata Dapsy Selangor.

Setiausaha Dapsy Selangor Mohammad Firdaus Babh berkata Azmin sepatutnya merombak exco dengan menukar portfolio penting yang dipegang PAS seperti perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar atau pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi.

“Ini boleh dijadikan sebagai tekanan kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Firdaus berkata Azmin sepatutnya memberi tekanan kepada PAS susulan kenyataan pesuruhjaya negeri Sallehen Mukhyi yang mereka akan bertanding di 42 kerusi di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Sallehen berkata pada 24 Ogos, parti itu juga mahu mengambil semula kerusi Parlimen Gombak yang dipegang Azmin.

“Wajib untuk ambil balik kerusi Parlimen Gombak. Itu kerusi tradisional PAS,” katanya.

“Tindakan PAS menunjukkan mereka talam dua muka dan cenderung untuk membantu Umno tawan semula Selangor.

“PAS patut melakukan perkara yang bermaruah dan letak jawatan semua kedudukannya dalam pentadbiran Selangor. Selepas itu, PAS bebas untuk mengkritik dan bertanding melawan Pakatan Harapan,” kata Firdaus. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen