Nor Mohamed Yakcop letak jawatan di Khazanah


Nor Mohamed Yakcop meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi di syarikat pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Berhad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

NOR Mohamed Yakcop, yang baru-baru ini mengaku bertanggungjawab atas kerugian Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asingnya kira-kira 30 tahun lalu, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi di syarikat pelaburan strategik negara, Khazanah Nasional Berhad berkuat kuasa 30 September ini.

Beliau juga melepaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

“Peletakan jawatan itu dikemukakan pada Mesyuarat ke-84 Lembaga Pengarah Khazanah, hari ini,” kata Khazanah melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Perdana Menteri Najib Razak selaku Pengerusi Khazanah merakamkan terima kasih kepada Nor Mohamed atas sumbangannya kepada syarikat itu terutamanya dalam menjayakan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Lembaga Pengarah menerima keputusan beliau dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata Najib, dalam kenyataan yang sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian Bank Negara Malaysia itu menamatkan prosidingnya hari ini selepas mendengar keterangan 25 saksi, termasuk Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim.

EDITORIAL: SANDIWARA SEBUAH RCI SUDAH BERAKHIR

Anwar dalam keterangannya kepada RCI berkata semasa jadi menteri kewangan beliau pernah mahu Nor Mohamed dipecat dari Bank Negara pada 1994. Anwar jadi menteri kewangan antara 1990 hingga 1998.

Menceritakan pertemuannya dengan Gabenor Bank Negara ketika itu, Allahyarham Jaafar Hussein, Anwar berkata beliau marah kerana Nor Mohamed tidak memberikan laporan dengan gambaran sebenar kepada Jaafar.

Anwar juga memberitahu RCI kesediaannya pada masa itu untuk memecat Nor Mohamed sekiranya bekas penolong gabenor itu tidak letak jawatan. Nor Mohamed letak jawatan dari bank pusat itu pada April 1994.

Anwar memberi keterangan sehari selepas Nor Mohamed tampil di RCI, ketika mana beliau yang juga penasihat bank pusat itu mengaku tidak pernah berbincang dengan Dr Mahathir mahupun Anwar mengenai urus niaga mata wang asing itu.

Ekoran kenyataannya di RCI itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi menuduh Nor Mohamed sengaja mahu melindungi Dr Mahathir daripada beban tanggungjawab atas kerugian bank pusat tersebut.

Dr Mahathir, yang kini pengkritik Perdana Menteri Nombor 1, kelmarin berkata RCI ini diadakan hanya bertujuan semata-mata mahu memburukkan dirinya.

Nor Mohamed, 70, berkhidmat dengan Khazanah selama 15 tahun. Beliau merupakan ahli lembaga pengarahnya yang paling lama berkhidmat sejak 2002 dan satu-satunya timbalan pengarah syarikat itu dalam sejarah 23 tahun penubuhannya. Beliau jadi timbalan pengarah Khazanah pada 3 Jun, 2013.

Menurut Khazanah, Nor Mohamed bertanggungjawab atas beberapa inisiatif syarikat itu antaranya pembangunan koridor ekonomi termasuk Iskandar Malaysia serta penubuhan Yayasan Hasanah dan KRI, selain merombak Khazanah sejak 2004.

Kenyataan itu juga menyebut Nor Mohamed berbakti kepada Khazanah termasuk melalui kedudukan beliau sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri (2000-2003), Menteri Kewangan II (2004-2009) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancangan Ekonomi (2009-2013)

“Pengurusan dan kakitangan Khazanah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Nor atas sumbangan dan khidmat cemerlang kepada Khazanah dan negara,” kata kenyataan itu lagi. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen