RCI ini hanya untuk burukkan saya, kata Dr Mahathir


Bede Hong Noel Achariam

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian forex Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.

TUJUAN sebenar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan untuk membongkar kerugian forex dialami Bank Negara (BNM), tetapi untuk menampakkan Dr Mahathir Mohamad buruk di mata rakyat, kata bekas perdana menteri itu selepas memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu hari ini.

 “Ia hanya untuk mencari cara menunjukkan saya buruk di mata rakyat. Yang pada zaman saya dulu, ada juga wang dicuri,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.

Beliau berkata RCI mengenai kerugian forex itu juga dicipta untuk mendakwa yang wang sejumlah RM30 bilion “dicuri” di bawah pentadbirannya.

“Itu tujuan mereka, tetapi saya takut mereka tidak dapat capai objektif mereka untuk menampakkan seperti ia kleptokrasi,” katanya.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 memberi keterangan hari ini yang beliau tidak tahu kerugian forex sebanyak RM30 bilion, dan hanya tahu RM5.7 bilion yang dilaporkan dalam laporan audit BNM yang kemudiannya dimaklumkan kepada Kabinet dan dibentangkan di Parlimen.

RCI itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian forex dialami bank pusat berkenaan selepas 1988 hingga 1994.

Ketika ditanya mengapa keterangan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim dibangkitkan ketika RCI itu, Dr Mahathir berkata, “Mereka sedang cuba menyalahkan seseorang.”

“Mereka fikir mereka boleh salahkan Anwar. Saya tidak nampak sebarang alasan mengapa ia boleh jadi begitu kerana Anwar beritahu saya apa yang dimaklumkan kepadanya.

“Mereka hendak tunjukkan kami ini teruk. Yang kami menipu,” katanya.

Dr Mahathir dan Anwar kini menyertai pembangkang.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata aset BNM pada hari ini berjumlah ratusan juta.

“Dan sila ingat yang hanya RM5 juta (modal permulaan) diberikan kepada BNM. Jadi adakah anda hendak kata BNM yang jahat kerana tidak menjaga wang kita?”

Ketika diminta mengulas mengenai RCI yang pada mulanya didesak penubuhannya oleh wakil rakyat DAP, Lim Kit Siang, sejak lebih dua dekad lalu, Dr Mahathir berkata Perdana Menteri Najib Razak patut membangkitkannya pada masa lalu.

“Kenapa baru sekarang dia hendak bangkitkan?

“Dulu dia senyum dan tepuk tangan saja,” katanya.

Terdahulu, dalam keterangannya Dr Mahathir berkata Najib jadikan dirinya bahan lawak kerana menubuhkan inkuiri kerugian 25 tahun lalu dan gagal membersihkan tuduhan kleptokrasi dalam pentadbirannya sendiri. – 18 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen