Isu kaum, agama bayangi politik Malaysia


Mustafa K. Anuar

AGAMA dan kaum terus dipolitikkan dan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini sehingga menjejaskan reformasi institusi dan sosial yang diperjuangkan rakyat Malaysia termasuk ahli akademik dan aktivis sosial.

Merujuk pada kerjasama Umno dan PAS sebagai contoh, ahli akademik dan aktivis sosial menyuarakan kebimbangan bahawa isu kaum dan agama yang dipolitikkan kini semakin menjadi-jadi.

Ahli sains politik di Universiti Sains Malaysia, Dr Azmil Tayed berkata beliau bimbang dengan kerjasama Umno dan PAS kerana ia hanya bertumpu pada isu kaum dan agama yang memecah belah.

Katanya, perkembangan itu hanya memburukkan lagi suasana yang merosakkan dalam politik sekarang.

“Kita sudah nampak bagaimana strategi ini melebarkan lagi jarak antara Muslim dan bukan Muslim, mengukuhkan lagi tanggapan dalam kalangan orang Melayu bahawa agama dan kaumnya sedang diancam oleh bukan Melayu.

“Ada kebimbangan yang menyeluruh sehingga kata-kata seseorang boleh dianggap sebagai menghina agama dan raja-raja,” kata Azmil.

Minggu ini, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa realiti politik Malaysia ini membiarkan umat Islam dibuli, merujuk tempoh setahun lalu sejak Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum dan jadi kerajaan.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa realiti politik Malaysia ini membiarkan umat Islam dibuli, merujuk tempoh setahun sejak PH menang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2019.

Beliau merujuk pada tindakan polis menahan pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, yang juga rakannya, atas dakwaan menghina agama Hindu serta tindakan beberapa pihak yang menghina Nabi Muhammad di media sosial.

Kenyataan Asri itu mendapat sokongan Pemuda Umno yang juga sependapat kononnya Islam terancam di bawah kerajaan sekarang.

Dengan latar itulah, sebuah badan hak Melayu-Islam merancang mengadakan rapat umum besar-besaran di Kuala Lumpur pada Sabtu ini atas alasan orang Melayu Islam masih tidak selesa dengan kerajaan di Putrajaya.

Perhimpunan itu akan membangkitkan pelbagai isu termasuk soal pendidikan khususnya pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan cadangan pelaksanaan semula Bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), selain Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Azmin berkata kerajaan PH tidak boleh terikut-ikut rentak kerajaan Umno dan BN seperti sebelum ini.

“Ia tidak boleh tunduk kepada kelompok ultra konservatif kaum dan agama ini.

“Pemimpin PH perlu keazaman politik dan keberanian untuk menukar naratif politik, daripada yang bersifat kaum dan agama yang memecah belah kepada yang lebih inklusif dan bertolak ansur,” katanya.

Mengenai pemikiran orang Melayu yang rasa terkepung, Azmil berkata ia boleh dibendung sekiranya kerajaan menangani kebimbangan ekonomi mereka, terutamanya kelompok miskin B40.

Beliau percaya kebimbangan ekonomi menjadi punca rasa terancam orang Melayu dan Islam.

“Mereka menggunakan isu kaum dan agama untuk menjelaskan kesusahan mereka, dan bukannya pada punca sebenar masalah. Akibatnya, mereka melepaskan rasa kecewa melalui isu-isu kaum dan agama dan menyalahkannya pada orang lain.

“Pemberdayaan ekonomi yang boleh meringankan kesusahan golongan yang memerlukan, tidak hanya orang Melayu, boleh mengimbangi naratif kaum dan agama yang kita lihat sekarang,” katanya. – 1 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen