PENDAKWAH Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu ditahan polis kerana realiti politik Malaysia hari ini membiarkan umat Islam dibuli, dakwa Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Asri membuat dakwaan itu melalui satu tulisan di Facebook selepas polis menahan Zamri, yang juga pengikut pendakwah kontroversi Zakir Naik, atas dakwaan menghina agama Hindu.
Mufti Perlis menyebut contoh kenyataan yang pemimpin Pakatan Harapan yang mengguris hati umat Islam tetapi tidak pula diambil tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya tidak menyalahkan pihak PDRM, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli.
“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil.
“Apakah ini suatu keadilan?” tanya Asri di Facebook.
Asri menulis komen itu sebagai menjawab tulisan pendakwah Firdaus Wong yang bertanya apa salah Zamri sehingga beliau ditahan polis.
Polis menahan Zamri di Arau, Perlis pada awal pagi kelmarin selepas menerima banyak laporan mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu di sebuah masjid di Kelantan, yang tersebar dalam sepotong rakaman video di media sosial.
Dalam tulisannya, Firdaus membandingkan kenyataan Zamri yang dibuat berdasarkan pengalamannya semasa menganut Hindu dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy kononnya penganut Hindu dipaksa memeluk Islam sekiranya mahu bekerja dengan kerajaan.
Firdaus juga mempersoalkan beberapa kenyataan yang dibuat pemimpin PH lain iaitu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Menjawab pertanyaan Firdaus itu, Asri berkata inilah realiti yang nampak hari ini.
“Pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu-individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.
“Betapa ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan,” kata Asri.
Menurut Mufti Perlis itu, Zamri yang juga ketua sebuah pertubuhan masyarakat di Perlis sudah banyak melaksanakan program yang membantu membina hubungan baik antara agama, termasuk ziarah ke gereja dan tokong serta menganjurkan dialog harmoni.
“Ucapan beliau itu hanyalah sedikit cerita pengalaman diri sebelum menganut Islam dibandingkan usaha beliau untuk hubungan antara agama,” tambah Asri.
“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri?
“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba? Tidak pula mereka itu ditangkap.
“Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?” tanya Asri.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan ada lebih 800 laporan polis dibuat terhadap Zamri di seluruh negara, menyebabkan polis membuka siasatan terhadapnya mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau kini direman empat hari sehingga Rabu. – 29 April, 2019
Komen