Putrajaya tergesa-gesa tarik diri Statut Rom, kata bekas diplomat


Mikha Chan

Menurut Noor Farida, kuasa-kuasa besar yang disebutnya itu tidak menyertai Statut Rom kerana khuatir mereka akan terpaksa berdepan dengan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 April, 2019.

PUTRAJAYA tergesa-gesa mengumumkan penarikan diri dari Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kata seorang bekas diplomat yang terlibat dengan proses ratifikasinya sejak semasa Barisan Nasional masih lagi kerajaan.

Noor Farida Ariffin, yang kini menganggotai kumpulan bekas penjawat awam atau G25, berkata kerajaan Pakatan Harapan sekarang perlu membentuk sebuah badan pakar serta mempunyai strategi komunikasi untuk menjelaskan perihal dokumen antarabangsa itu.

“Rakyat nanti akan tahu bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan, bahawa tidak ada agenda kuasa besar.

“Kalau ada (agenda kuasa besar), Amerika Syarikat akan menyertainya tetapi tidak. Rusia dan China pun tidak,” katanya kepada wartawan selepas menyertai Forum Malaysia dan Statut Rom di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Noor Farida, kuasa-kuasa besar yang disebutnya itu tidak menyertai Statut Rom kerana khuatir mereka akan terpaksa berdepan dengan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

ICC mempunyai bidang kuasa membicarakan negara yang menyertai Statut Rom atas empat jenayah iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

“Jadi mereka ada alasan untuk tidak ratifikasikan statut itu. Bill Clinton menandatanganinya tetapi George Bush membatalkannya.”

Clinton menandatangani dokumen antarabangsa itu pada 2000. Bagaimanapun presiden Bush yang menggantikan beliau memaklumkan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2002, Amerika menarik diri.

Putrajaya menandatangani Statut Rom pada 4 Mac lalu. Bagaimanapun, pada 5 April, ketika isu itu hangat dibahaskan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan tarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam masyarakat.

Perdana Menteri juga menegaskan penarikan diri Malaysia itu bukan kerana pembentukan mahkamah antarabangsa itu membahayakan negara.

Dua menteri kabinet, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kemudian menyebut Putrajaya menarik diri dari Statut Rom kerana ada tangan ghaib yang disifatkan sebagai daulah terpendam yang mahu merampas kuasa. 

“Kabinet BN yang setuju”

Sementara itu, Noor Farida berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak membantah Statut Rom dan sedia menandatangani perjanjian itu pada 2011.

Katanya, hanya Peguam Negara pada masa itu, Abdul Gani Patail yang membantah tetapi bukan kerajaan BN keseluruhannya.

“Saya pada masa itu mengetuai bahagian di Wisma Putra mengkaji perjanjian dan undang-undang antarabangsa. Kami memulakan kesediaan kerajaan untuk menyertai Statut Rom. Kami menyediakan kertas Kabinet dan menghantarnya kepada agensi kerajaan yang relevan termasuk Pejabat Peguam Negara.

“Kabinet mengenepikan bantahan Pejabat Peguam Negara dan memutuskan untuk bersetuju menandatangani statut itu pada akhir Mac 2011,” tambahnya.

Noor Farida berkata jabatannya menyediakan instrumen bagi penyertaan itu untuk disimpan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dimandatkan oleh Statut Rom.

Bagaimanapun katanya, menteri luar pada ketika itu, Anifah Aman enggan menandatangani statut itu atas alasan tersendiri.

Memorandum

Dalam pada itu, beliau memberitahu G25 akan menghantar memorandum menggariskan beberapa cadangan kepada kerajaan.

“Kita mendesak kerajaan untuk tidak tarik diri (dari Statut Rom),” katanya.

Memorandum itu akan dikemukakan bersama beberapa badan lain antaranya Persatuan Patriot Kebangsaan dan Ikram, dan diharap dapat dihantar minggu depan.

Jelas Noor Farida, rakyat perlu dididik tentang dokumen antarabangsa itu sebelum kerajaan membuat keputusan mengenainya.

“Kita tidak mahu ulangan macam ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) apabila parti pembangkang buat demonstrasi dan sebagainya.

“Kita perlu jelaskan kepada orang Melayu, yang rasa kurang selamat, bahawa ini tidak akan menjejaskan mereka atau raja-raja.

“Macam mana kita kata ia bertentangan dengan Islam? Adakah Islam sokong pembunuhan beramai-ramai? Kita bercakap tentang genosid. Orang Islam pun mangsa pembunuhan beramai-ramai,” katanya. – 27 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen