Tarik diri Statut Rom kerana bimbang rampasan kuasa daulah terpendam, kata Saifuddin


Wujud agenda daulah terpendam bukan demokratik yang mahu jatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2019.

KEPUTUSAN Malaysia menarik diri daripada ratifikasi Statut Rom adalah disebabkan Kabinet bimbang wujud rampasan kuasa didalangi “daulah terpendam”, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah. 

Beliau dipetik Malaysiakini sebagai berkata, selepas perubahan kuasa sah menerusi pilihan raya, selalu wujud kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh “daulah terpendam”, atau pihak tertentu di luar kerangka politik nasional dengan agenda mahu menjatuhkan kerajaan demokratik dengan cara tidak demokratik. 

“Ada sebuah negara yang tidak pernah berlaku transisi demokratik, berlaku satu pilihan raya selepas kebangkitan rakyat, seorang presiden dipilih. Dan presiden itu dianggap the first elected democratically president and he formed the government (presiden pertama yang dipilih secara demokratik dan dia telah membentuk kerajaan).

“Dalam masa setahun seorang jeneral mengetuai satu rampasan kuasa dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

“Kenyataan Dr Mahathiir, kerisauan saya perkara sedemikian boleh berlaku di negara ini. Kita mesti elakkan perkara ini berlaku. Kita harus mempertahankan kebangkitan rakyat dan pilihan raya rakyat,” katanya dipetik berkata. 

Semalam, beliau turut menulis di Twitter, menggesa rakyat tidak terpengaruh dengan “daulah terpendam” yang mahu merobohkan Malaysia Baharu.

“Dalam sejarah sering berlaku deep state/aparat yang tak dipilih rakyat menjatuhkan kerajaan baru yang dipilih melalui kebangkitan/pilihan rakyat dan kemajuan demokrasi. Elakkan dari deep state/aparat meroboh Malaysia Baharu,” tulisnya. 

Akhbar Malay Mail pula melaporkan yang Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat tidak rasmi untuk berbincang tentang Statut Rom pada Selasa.

Majlis tersebut memanggil Saifuddin, Peguam Negara Tommy Thomas, Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara yang juga Dekan Fakulti Undang-Undang Uitm Profesor Dr Rahmat Mohamad untuk menjelaskan perkara tersebut.

Saifuddin bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut hasil pertemuan tersebut.

Beliau menjelaskan Kabinet membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom pada mesyuarat Jumaat lalu yang diadakan selepas Dr Mahathir mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Walaupun, Dr Mahathir tidak menyebut sesiapa dalam pengumuman penarikan diri tersebut, Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sulyan Ibrahim lantang mengecam tindakan merafitikasi perjanjian antarabangsa itu, menyifatkannya sebagai “tidak berpelembagaan”.

“Institusi Diraja tergugat apabila kita menandatangi sesuatu yang membolehkan YDP Agong diheret ke mahkamah antarabangsa. Dimana letaknya kedaulatan YDP Agong selepas ini? Ini telah melanggar Perlembagaan,” tulisnya di Twitter.

Ayahndanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengecam keputusan ratifikasi yang disifatkannya melanggar Perlembagaan.– 7 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen