Malaysia tarik diri Statut Rom kerana keliru, kata Dr Mahathir


Perdana Menteri Dr Mahatir Mohamad berkata Malaysia menarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang ditimbulkan pihak tertentu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 April, 2019.

MALAYSIA menarik diri daripada ratifikasi Statut Rom disebabkan kekeliruan yang ditimbulkan pihak tertentu dan bukan kerana ia memudaratkan negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini, katanya yang menjelaskan Malaysia masih boleh menarik diri sebelum Jun pada tahun ini.

“Mengenai isu ini, mereka nak cuba gunakan untuk memburuk-burukkan kerajaan terutama saya pengkhianat kepada bangsa saya.

“Tak apalah nak panggil pengkhianat. Mereka lebih pengkhianat daripada saya,” katanya yang tidak menamakan individu terlibat.

Jelasnya, pihak berkenaan menimbulkan khabar angin bahawa ratifikasi itu akan menyebabkan Malaysia tidak dapat lagi mengamalkan dasar diskriminasi seperti keistimewaan kepada Melayu.

Walhal, Statut Rom itu hanya menyekat undang-undang dan tindakan melampau seperti merampas harta dan membunuh kaum bukan Melayu, katanya.

Tambahnya, pihak berkenaan hanya berdiam diri apabila beliau mengemukan petisyen mengenai dakwaan penyelewengan dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Raja-Raja Melayu.

“Sewaktu negara dijual kepada orang luar, orang yang bercakap mengenai Statut Rom ini tidak berkata apa-apa.

“Masa Najib curi duit, masa Najib jual tanah macam-macam dia buat, mereka tak ada satu patah pun tegur. Mereka akan sembunyikan,” katanya lagi dalam sidang media hari ini.

Kebimbangan mengenai bidang kuasa Statut Rom itu disuarakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan tersebut menyentuh kuasa Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan kemuliaan agama Islam, titahnya semasa sambutan ulang tahun kelahiran baginda.

Jelas Dr Mahathir lagi, walau tanpa menandatangani Statut Rom, masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan tetap mengecam jika negara bertindak dengan melampau.

Beliau memberi pembantaian orang Islam dilakukan pentadbiran junta tentera Myanmar yang dikecam masyarakat dunia, walau tidak menandatangani Statut Rom.

Malaysia menandatangani Statut Rom pada 4 Mac dan dokumen berkaitan dikemukakan kepada setiausaha agung PBB pada hari sama. – 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen