Statut Rom jejas raja? PM kata TMJ bukan wakil rakyat


Timothy Achariam

Baginda bukan wakil rakyat. Baginda hanya bercakap untuk diri sendiri, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulas kenyataan TMJ mengenai keputusan kerajaan menyertai Statut Rom. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Mac, 2019.

TUNKU Mahkhota Johor bukan wakil rakyat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas dakwaan putera tersebut yang kerajaan tidak berbincang dengan Majlis Raja-Raja berkaitan keputusan menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Baginda bukan wakil rakyat. Baginda hanya bercakap untuk diri sendiri,” katanya kepada wartawan di Parlimen hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan dikeluarkan semalam menjelaskan yang kajian terperinci dan mendalam semua aspek telah dilakukan sebelum keputusan menyertai Statut Rom dibuat.

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah treati yang diwujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, diluluskan di Rome pada 17 Julai 1998 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 2002.

“Kerajaan telah mengkaji secara mendalam dan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom.

“Keputusan dibuat setelah kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan SPB Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan yang keputusan itu selari dengan dasar kerajaan Malaysia Baharu untuk menjunjung prinsip kebenaran, hak asasi, kedaulatan undang-undang, keadilan dan kebertanggungjawaban.

Menurut Wisma Putra lagi, ICC berpegang kepada prinsip “complementarity” di mana Artikel 17 Statut Rom memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya negara terlibat, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa.

“Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort),” jelasnya.

TMJ menerusi Twitter semalam, berkata Majlis Raja-Raja tidak dimaklumkan dan dipinggirkan kerajaan dalam keputusan itu, malah ia boleh menyebabkan Agong diheret ke mahkamah antarabangsa, risiko yang dianggap baginda menjejaskan perlembagaan.

Setakat 4 Mac tahun ini, 124 ahli menyertai Statut Rom.

Antara negara demokrasi raja berpelembagaan yang menyertainya termasuklah Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom. – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen