Apa guna pelan tindakan India kalau isu kerakyatan tidak selesai, kata Anwar


PELAN Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan Perdana Menteri Najib Razak pada April tidak bermakna apabila isu taraf kerakyatan tidak dapat diselesaikan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ramai kaum India berdepan dengan isu tidak mempunyai taraf kerakyatan walaupun kaum lain turut terjejas.

“Kerajaan tidak menunjukkan minat atau kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Anwar yang juga ketua umum PKR dalam satu kenyataan hari ini.

“Adalah memalukan kanak-kanak perlu memfailkan tindakan undang-undang dan perlu melalui beberapa siri rayuan mahkamah hanya untuk mendapatkan taraf kerakyatan yang menjadi hak asas mereka.”

Mahkamah Persekutuan pada Isnin membenarkan tiga permohonan berasingan ibu bapa kanak-kanak yang lahir di Malaysia tetapi tidak diberikan taraf kerakyatan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menafikan pemberian kerakyatan kepada mereka.

Tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hasan Lah, Zainun Ali dan Abu Samah Nordin membenarkan permohonan itu selepas tiada bantahan daripada pihak kerajaan yang diwakili peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Maisarah Juhari. 

Dua peguam itu mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman keluarga berkenaan.

Rayuan dikemukakan itu menyentuh tujuh persoalan undang-undang yang dibangkitkan berasingan melalui tiga pemohon. Antara persoalan undang-undang itu ialah:

* sama ada rujukan kepada hubungan darah atau keturunan diperlukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kewarganegaraan kanak-kanak terbabit;

* sama ada seseorang anak perlu membuktikan identiti biologi ibu bapanya dan mereka bukan warganegara asing mengikut Perlembagaan Persekutuan; atau

* sama ada memadai bagi seseorang kanak-kanak hanya membuktikan dia tidak mendapat kerakyatan mana-mana negara dalam tempoh satu tahun setelah dilahirkan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Gopal Sri Ram yang mewakili keluarga bagi dua kes itu untuk satu tarikh pengurusan kes agar semua kes didengar secara bersama.

Sementara itu, peguam N. Surendran yang mewakili ibu bapa dalam dua kes berkata keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan memberi kesan kepada hak kanak-kanak dan individu tidak bernegara yang bermastautin di Malaysia, yang jumlahnya dipercayai mencecah berpuluh atau mungkin beratus ribu orang. 

Kes ini turut menarik perhatian Persatuan Peguam Wanita,  Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Chow Kit yang mencelah sebagai pemerhati.

Perdana Menteri Najib Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti itu di negara ini untuk tempoh 10 tahun akan datang. 

Di bawah pelan itu, perdana menteri berkata, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khusus untuk memupuk tabiat menabung bagi golongan B40 kaum itu. – 12 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen