Kes kanak-kanak tiada warganegara dibawa ke Mahkamah Persekutuan


MAHKAMAH Persekutuan akan mendengar rayuan dikemukakan tiga ibu bapa dalam tiga kes berasingan mengenai sama ada kanak-kanak tidak bernegara boleh diberi kerakyatan.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan permohonan ibu bapa kanak-kanak yang lahir di Malaysia, tetapi tidak dapat diberi kerakyatan untuk membolehkan mereka meneruskan rayuan.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menafikan pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak berkenaan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Hassan Hasan Lah, Zainun Ali dan Abu Samah Nordin membenarkan permohonan mereka selepas Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Maisarah Juhari tidak membantah rayuan bagi mendapatkan kebenaran itu.

Shamsul dan Maisarah mewakili ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman keluarga berkenaan.

Hassan juga mengeluarkan perintah kepada media supaya tidak mendedahkan nama ibu bapa dan anak mereka dalam kes pertama berikutan permohonan peguam mereka, Cyrus Das.

Beliau juga membenarkan rayuan mengenai tujuh persoalan undang-undang bagi kes pertama dan masing-masing satu persoalan bagi dua kes lagi — Lim Jen Hsiang dan seorang lagi pemohon yang enggan dikenali.

Persoalan daripada dua kes itu ialah tentang sama ada rujukan kepada hubungan darah atau keturunan diperlukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kewarganegaraan kanak-kanak terbabit.

Bagi kes pertama, antara persoalannya ialah sama ada seseorang anak perlu membuktikan identity biologi ibu bapanya dan mereka bukan warganegara asing mengikut Perlembagaan Persekutuan atau sama ada memadai bagi seseorang kanak-kanak hanya membuktikan dia tidak mendapat kerakyatan mana-mana negara dalam tempoh satu tahun setelah dilahirkan.

Peguam Gopal Sri Ram yang mewakili keluarga bagi dua kes lain itu memohon arahan mahkamah bagi menetapkan tarikh pengurusan kes agar kesemua kes itu didengar secara bersama dan permohonan itu dibenarkan mahkamah.

Goh Siu Lin bertindak sebagai peguam pemerhati untuk Persatuan Peguam Wanita, manakala Annou Xavier untuk Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Chow Kit.

Peguam N. Surendran, yang juga mewakili ibu bapa dalam dua kes lain, berkata keputusan bagi ketiga-tiga kes itu akan memberi kesan besar terhadap hak kanak-kanak atau individu tidak bernegara, yang dipercayai berjumlah beribu orang. – Bernama, 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen