Saya patuh keputusan perdana menteri, kata Kiandee


Vasudevan Vamadevan

Pengerusi PAC Ronald Kiandee berkata beliau akan mematuhi arahan perdana menteri berhubung jawatan yang dipegangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2019.

RONALD Kiandee berkata beliau akan terus menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sehingga pengganti beliau dikenal pasti oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata beliau akan terus memegang jawatan tersebut dan akan meletak jawatan apabila nama pengerusi baru dicadangkan di Parlimen.

“Saya patuh keputusan perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata dirinya tidak mahu terus diasak dengan perkara tersebut.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada awal hari ini beliau akan  mempertimbangkan calon pengganti Kiandee bagi jawatan pengerusi PAC itu berikutan beberapa aduan dibuat oleh ahli parlimen Pakatan Harapan.

Mahathir berkata beliau akan memikirkan berkenaan calon bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran itu dengan seorang lagi ahli parlimen pembangkang.

“Tetapi pada masa ini, dia tetap pengerusi PAC,” kata beliau hari ini selepas melancarkan kempen Love MY Palm Oil di Pulau Carey, Selangor pagi tadi.

Ulasan beliau itu tampil selepas ahli parlimen PH Wong Chen mendedahkan semalam bahawa ahli PAC PH telah menulis surat kepada Dr Mahathir berkenaan Kiandee yang terus memegang jawatan itu walaupun telah menyertai barisan kerajaan.

Hujung minggu ini, Nurul Izzah Anwar yang merupakan salah seorang anggota PAC mendedahkan bahawa beliau telah keluar dari PAC ekoran Kiandee yang terus memegang jawatan sebagai pengerusinya.

PH dalam pilihan raya umum yang lalu berjanji dalam manifesto bahawa ketua PAC adalah harus dipegang oleh pihak pembangkang sebagai sebahagian daripada rancangan bagi sebuah pentadbiran kerajaan yang telus, bertanggungjawab dan mempunyai semak dan imbang.

Bagaimanapun, kedudukan Kiandee dipertikaikan selepas beliau meninggalkan Umno dan seterusnya menyertai Bersatu, salah satu parti komponen PH.

“Ini bukan perkara melibatkan undang-undang - ia adalah janji yang dibuat oleh parti. Kami, Pakatan Harapan, boleh melakukannya bila-bila masa sahaja,” kata Dr Mahathir hari ini apabila ditanya mengenai hal tersebut

Dengan peletakan jawatan Nurul, PAC kini mempunyai 13 ahli - Sembilan ahli daripada PH. Dua daripada Barisan Nasional, manakala PAS dan PBB masing-masing mempunyai seorang wakil bagi menganggotai jawatankuasa itu – 24 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen