Permit himpunan solidariti mangsa Christchurch ‘sudah diuruskan’, kata Mujahid


Asila Jalil

Soal permohonan permit atau notis kebenaran kita dah uruskan, kata Menteri Mujahid Yusof Rawa mengenai kebenaran mengadakan himpunan solidariti mangsa serangan Christchurch Sabtu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Mac, 2019.

PROSES mendapatkan permit untuk himpunan solidariti pada Sabtu untuk mengenang mangsa serangan pengganas di Christchurch sudah diuruskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

“Soal permohonan permit atau notis kebenaran kita dah uruskan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini apabila ditanya tentang kelulusan permit himpunan itu.

Mujahid yang menggerakkan idea himpunan itu, juga berharap beliau dapat hadir kerana beliau sekarang mewakili kerajaan Malaysia dan akan pergi ke Christchurch hari ini untuk melawat mangsa warga Malaysia.

Semalam, Wisma Putra mengesahkan seorang warga Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, terbunuh dalam tragedi itu.

“Saya juga mahu mengingatkan semua tentang himpunan solidariti yang dianjurkan Sabtu ini. Tolong berdoa yang saya boleh balik pada pagi (Sabtu) dan menyertai program himpunan itu.

“Umumnya, kita mahu mesej ini didengar oleh semua rakyat Malaysia seluruh negara,” tambahnya.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Mujahid perlu memberikan notis 10 hari untuk mendapatkan premit himpunan yang digelar Perhimpunan Solidariti Kedamaian itu.

Memetik Akta Perhimpunan Aman 2012, Muhyiddin berkata setiap individu yang mahu menganjurkan perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

 

“Tidak kiralah siapa yang mahu anjur (perhimpunan), kena ikut peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Tiada yang terkecuali, mereka kena maklumkan polis 10 hari sebelum perhimpunan.”– 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen