Mak Yong tak perlu restu politik, kata aktivis budaya


Asila Jalil

Tarian Mak Yong adalah warisan budaya yang wujud lebih 200 tahun lampau di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2019.

TARIAN dan drama tradisional Mak Yong tidak memerlukan kelulusan kerajaan Kelantan untuk dipersembahkan di khalayak ramai di negeri itu, kata aktivis budaya Eddin Khoo.

Beliau berkata pertunjukan budaya itu sudahpun wujud sejak ratusan tahun dahulu. 

Kerajaan negeri pimpinan PAS pula hanya mengharamkan persembahan itu pada awal 1990-an dengan alasan elemen dalam tarian itu menggabungkan fantasi dan kepercayaan purba sebelum Islam.

Mak Yong kembali menjadi berita hangat apabila ada gesaan terbaru oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya Kelantan memansuhkan pengharaman terhadap Mak Yong, wayang kulit dan beberapa bentuk seni tradisional yang lain. 

 Berikutan itu, kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji sama ada Mak Yong bertepatan dengan syariah.

Aktivis budaya turut mendedahkan bahawa PAS tidak mempedulikan gesaan PBB yang serupa pada dua tahun lalu.

Menurut Khoo yang juga merupakan pengasas Pusaka - sebuah organisasi yang menumpukan kerja promosi budaya tradisional, Mak Yong telah giat dibudayakan di pantai timur serta negeri di utara tanah air sejak ratusan tahun dahulu. 

Khoo mengatakan perdebatan yang tak kunjung selesai mengenai perlunya keizinan atay restu menggambarkan kegagalan memahami warisan budaya tempatan. 

“Adakah warisan budaya yang telah berakar umbi ratusan tahun dahulu memerlukan restu kerajaan untuk ia diteruskan? 

“Apa jenis budaya yang kita ada sebagai bangsa jika Mak Yong dilayan seperti ini?” kata Khoo kepada The Malaysian Insight. 

Mak Yong dibawa masuk ke Kelantan melalui wilayah Pattani oleh mereka yang berasal dari sana sejak 200 tahun lalu dan ia kemudian tersebar ke Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Walaupun pengharaman di Kelantan oleh kerajaan PAS, warisan budaya Mak Yong masih diamalkan dan dipersembahkan dalam beberapa acara di tempat lain dan secara tertutup di Kelantan.

Pada 2016 misalnya, Pusaka membawa kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari dari Kuala Besut, Terengganu yang terdiri daripada waris-waris primadona Mak Yong, Che Ning untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur.  

Selain itu, alasan Mak Yong diharamkan di Kelantan termasuk memiliki anasir yang diharamkan agama Islam seperti pengharaman wanita untuk menyertai persembahan tersebut kerana aurat. – 17 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen