Umno-PAS akan jadikan Malaysia macam Afghanistan, kata pemimpin DAP


Awal minggu ini, Umno dan PAS duduk semeja merundingkan kerjasama yang lebih formal melangkaui pakatan semasa pilihan raya kecil sejak Ogos tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2019.

MALAYSIA akan jadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban kalau kerjasama Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming.

Sin Chew Daily memetik timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata, keadaan itu tidak boleh dibetulkan dan akan memecah-belahkan rakyat dengan garis kaum dan agama.

“Umno dan PAS telah mengambil tindakan bersama yang semakin ekstrem manakala golongan Melayu yang sederhana dan berfikiran terbuka sebaliknya berdiam diri,” katanya, seperti dipetik Sin Chew Daily dalam satu majlis di Taiping semalam.

Taliban ialah pergerakan politik yang menguasai Afghanistan pada dekad 1990-an, yang muncul daripada perang saudara selepas negara itu keluar dari perang dengan Kesatuan Soviet.

Taliban menguatkuasakan tafsiran ke atas Islam yang ketat, termasuk menyekat pendidikan untuk wanita.

“Pihak yang berfikiran sederhana termasuk pertubuhan masyarakat harus bersatu dan menggembleng tenaga supaya negara menuju ke arah pemerintahan yang mengamalkan pendekatan sederhana dan bukannya ekstrem,” katanya.

Kerjasama Umno dan PAS juga akan mencabar masyarakat majmuk yang terbina sejak 1957, katanya seperti dipetik Kwong Wah.

Nga yang juga ahli Parlimen Teluk Intan berkata, Umno dan PAS bekerjasama kerana dari segi politik dua parti itu kini ibarat kapal yang hendak karam dan saling cuba menyelamatkan diri dengan berpaut antara satu sama lain.

Beliau menyebut bagaimana pemimpin dua parti itu sekarang terbelit dengan pelbagai skandal yang sedang disiasat agensi anti rasuah dan ada yang sudah didakwa di mahkamah.

Awal minggu ini, Umno dan PAS duduk semeja merundingkan kerjasama yang lebih formal melangkaui pakatan semasa pilihan raya kecil sejak Ogos tahun lalu.

Mereka membentuk sebuah jawatankuasa bersama dipengerusikan masing-masing seorang naib presiden parti yang akan membentangkan bentuk kerjasama masa depan.

Kerjasama dua parti Melayu Islam yang selama ini bersaing itu dikritik oleh banyak pemimpin Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada mulanya menyifatkan kerjasama itu “mengisytiharkan perang terhadap bukan Melayu” – kenyataan yang kemudian beliau ubah kepada “menyasarkan bukan Melayu”.

Namun kenyataan awal menteri kewangan itu memicu laporan polis terhadap oleh pelbagai pihak termasuk Umno dan PAS sendiri kerana dianggap berbaur hasutan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat Lim daripada Kabinetnya kerana kenyataannya yang berbahaya kepada perpaduan negara.

Dr Mahathir sendiri dalam ulasannya mengenai kerjasama PAS dan Umno bertanya apakah parti Islam itu kini menarik balik semua tuduhan kafir dan sekular yang pernah ia labelkan pada Umno dulu. – 9 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen