Kita miskin sama-sama


Looi Sue-Chern

Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

TIMBALAN presiden Persatuan Hindi Pulau Pinang (PHA) P. Murugiah, 60, menghabiskan seumur hidupnya memperjuangkan nasib golongan miskin dan pengguna. Daripada cebis-cebis pengalaman yang dihimpunkannya selama itu, dia sedar negara ini terbelah kerana politik, dan bukan kerana kaum.

Dia anak ketujuh daripada sembilan beradik. Ayahnya mandur di sebuah syarikat percetakan dan setiap hujung bulan, ayahnya dapat gaji hanya secotet.

“Gaji akhirnya hanya $400. Dengan 11 orang dalam keluarga, macam mana hendak hidup.” Mata wang pada masa itu dolar Malaya British Borneo, yang kemudian ditukar menjadi Ringgit Malaysia atau ringgit pada 1967.

Seperti keluarga kelas pekerja yang lain pada 1960-an, mereka bersusah payah mengharungi dekad penuh getir itu, ketika peluang pekerjaan tidak terlalu banyak dan perdagangan dengan Indonesia terjejas teruk ekoran kempen Ganyang Malaysia antara 1963 hingga 1966. Pada 1969, Pulau Pinang hilang taraf sebagai pelabuhan bebas.

Pulau Pinang pada ketika itu belum ada Komtar tetapi kawasan rumahnya di Jalan Datuk Keramat, George Town, yang berseberangan dengan tapak pasar raya Gama sekarang, sibuk dengan orang berniaga. Di kawasan itu dulu penuh dengan gerai di tepi jalan, kedai kopi India, kedai buku, kedai Cina dan panggung wayang Wembley.

Ibu Murugiah akan bangun awal setiap pagi, menyiapkan thosai untuk dihantar ke gerai dan kedai berdekatan rumah. Murugiah dan adik-beradiknya akan bergilir-gilir menghantar air tangan ibunya itu.

“Kami semua tolong ibu. Itu zaman susah. Kami selalu tidak cukup makan di rumah.

“Ada masanya langsung tak ada apa untuk dimasak. Kami maka thosai yang tak habis dijual,” katanya.

Kalau Murugiah mahukan sepasang kasut baharu, ibunya akan menyuruh dia menyimpan 20 sen sehari. Cukup enam bulan, dapatlah dia sepasang kasut baharu.

Ada satu pengalaman masa kecil yang tidak dapat dia lupa, melihat seorang abangnya dibelasah oleh pengawal keselamatan kerana membuka tingkap semasa perintah berkurung.

Timbalan Presiden Persatuan Hindi Pulau Pinang P. Murugiah bersama isteri dan tiga anak mereka dalam satu acara keagamaan pada 2007. – Gambar P. Murugiah, 6 September, 2017.

Murugiah ingat samar-samar bila sebenarnya kejadian itu tetapi dia percaya ia berlaku tidak lama selepas rusuhan Hartal Pulau Pinang yang pecah pada 24 November, 1967. Rusuhan itu meletus selepas penurunan nilai mata wang dollar Malaya British Borneo berbanding pound sterling Britain selepas pengenalan mata wang baru Ringgit Malaysia. Rusuhan itu membunuh 17 orang dan menyebabkan sehingga 137 orang cedera.

“Saya tidak begitu ingat kenapa ada perintah berkurung tetapi saya tidak lupa melihat begitu banyak askar di jalan raya. Saya masih budak waktu itu dan tak faham. Tetapi saya pasti kejadian itu sebelum rusuhan kaum 13 Mei (1969).

“Abang saya tak tahu dia tak boleh buka tingkap. Mereka pukul dia dengan bontot senapang. Tak ada siapa boleh tolong dia. Ayah suruh kami duduk diam-diam dalam rumah. Kami cuma menangis dan menjerit saja,” katanya.

Walaupun makan berkuah air mata, kata Murugiah, dia dan adik beradiknya habis sekolah cuma tidak berpeluang belajar lebih tinggi. Dua kakaknya cemerlang di sekolah. Seorang jadi guru, seorang lagi belajar di India untuk jadi doktor tetapi pengajiannya tidak selesai kerana jatuh sakit terkena jangkitan kuman di telinga.

Seperti ayahnya, Murugiah juga bekerja di percetakan. Itu kerja pertamanya. Ayahnyalah yang mendapatkannya pekerjaan itu tetapi di sebuah percetakan yang lain. Murugiah pada masa itu bercita-cita mahu menimba pengalaman dan kemudian berniaga sendiri.

“Saya masih budak, jadi saya kena buli. Bukannya senang kerja dengan besi panas dan air menggelegak. Saya melecur beberapa kali hanya untuk dapat upah sebulan $35,” katanya.

Murugiah kemudian berpindah kerja dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Ayahnya jugalah yang memperkenalkannya dengan persatuan itu kerana dia orang persatuan. Tetapi itu yang terakhir kerana selepas itu, Murugiah mesti hidup sendiri.

Ayahnya meninggal dunia ketika umurnya 17 tahun. Tidak lama kemudian, ibu dan adik beradiknya berpindah ke Seremban tetapi dia enggan.

“Pada umur 18 atau 19 tahun, saya tak ada rumah. Tiga malam saya tidur di tepi jalan sebelum saya pindah menumpang di rumah kawan,” katanya.

Bekerja dengan CAP, Murugiah dapat gaji $75 sebulan. Itu pada 1970-an. Persatuan juga memberi pinjam $100 untuk dia beli basikal, yang kemudian dipotong daripada gaji bulan.

Untuk menambah pendapatan, Murugiah bekerja pada hari minggu. Dia mencuci kereta. Kalau ada majlis perkahwinan, dia buat muka tak malu, rempuh masuk untuk makan. Kalau sampai tuan rumah dapat tahu, dia kemudian akan cuci pinggan.

“Apabila CAP buat majlis, sayalah antara orang paling gembira kerana akan selalu ada makan percuma. Hidup memang payah. Saya selalu bertanya kenapa Tuhan menguji saya begitu,” katanya.

“Saya muda masa itu. Saya tak tahu apa-apa (tentang perkauman). Masa itu memang ada banyak orang miskin tetapi mana ada banyak kerajaan buat program kebajikan. Banyak juga yang duduk tepi jalan sebab mana ada rumah kebajikan.

“Sekarang dah banyak elok, walaupun kita masih boleh perbaiki lagi program kebajikan untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Universiti CAP

Murugiah berkata bekerja dengan CAP membuka matanya pada dunia biarpun gajinya kecil dan kerjanya dari 7.30 pagi sampai 9 malam.

“Saya belajar tulis surat dalam bahasa Inggeris. Saya belajar buat kenyataan media, dan belajar guna mesin taip. Seorang penyelia saya tolong bayarkan yuran kelas menaip setiap Sabtu.

“Saya juga belajar tentang kerja-kerja menyiasat. Saya pantau harga barang di pasar. Saya pergi periksa tempat makan dan kilang proses makanan, kalau-kalau ada masalah.

“CAP itu universiti saya,” katanya, mengenang suka duka masa mudanya di persatuan itu, termasuk beberapa pendedahan muka depan di akhbar terbitan badan pejuang hak pengguna itu.

Lahir pada 1957, P Murugiah berkata seperti keluarga kelas pekerja yang lain pada 1960-an, mereka bersusah payah mengharungi dekad penuh getir itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2017.

Pada 1980-an Murugiah terjumpa bangkai haiwan dalam tangki air di bumbung sebuah bangunan di Hospital Pulau Pinang. Tangki itu membekalkan air ke dapur hospital. Selepas mengambil gambar apa yang ditemuinya itu, dia turun dari bumbung itu menggunakan seutas tali. Dia tertangkap oleh seorang doktor.

“Saya tahu pengawal akan bawa saya jumpa superintenden perubatan yang tentunya akan rampas filem daripada kamera. Mujur saya ada pelan B.

“Saya beritahu kepada pengawal itu motosikal saya ada di luar. Saya minta izin untuk bawa masuk ke dalam kerana urusan ini tentu akan makan masa. Mereka tak mahu bertanggungjawab kalau motosikal saya hilang, jadi mereka benarkan.

“Masa berjalan nak sampai ke motosikal, saya masukkan gulung negatif filem itu ke seluar dalam. Saya beri hospital gulung filem yang belum dipakai,” katanya.

Murugiah juga menulis kenyataan media tentang keadaan buruk di rumah mayat apabila mayat yang tidak dituntut disimpan bertindih dalam peti sejuk.

“Tempat tak ada, jadi mayat-mayat itu disimpan sekali. Apabila mayat yang di atas diangkat kulitnya akan tertanggal. Apabila peti sejuk rosak, semua mayat itu diletakkan di luar.

“Dalam masa 24 jam selepas berita itu tersiar, Dewan Rakyat mengadakan satu sidang tergempar dan meluluskan peruntukan untuk sebuah bilik sejuk,’’ katanya.

Mengimbau masa lalu, Murugiah berkata kerjanya itu mungkin menyebabkan sesetengah orang, termasuk kakitangan awam, dibuang kerja.

Pada hujung 1980-an, Murugiah yang ketika itu sudah berkahwin dan sudah ada anak, memerlukan insurans nyawa tetapi tidak cukup untuk membayar premium $50 sebulan.

Gajinya sebagai pegawai penyelidik CAP sudah naik tetapi dia bergelut untuk menanggung keluarga.

Agen insurans itu menawar diri untuk bayarkan premium bulanan Murugiah, dengan syarat dia memperkenalkan klien baru setiap bulan.

“Saya dapatkan dia 10 orang. Oleh sebab saya cekap, dia ambil saya kerja part time. Saya jadi sedar saya boleh dapat seluruh gaji saya setahun (di CAP) dalam masa hanya dua, tiga bulan jual insurans.

“CAP tak mahu lepaskan saya. Setiap kali bos (presiden CAP S.M. Mohamed) Idris koyak surat letak jawatan saya, dia naikkan gaji saya RM200.”

Murugiah kemudiannya menjual insurans sepenuh masa. Dia beli sebuah rumah dan kereta untuk keluarga, melancong ke 25 negara dan menghantar tiga anaknya masuk kolej swasta.

“Anak lelaki sulung saya, 31, sekarang ketua jurutera marin di Abu Dhabi. Anak yang kedua lelaki juga, 30, kerja IT di AirAsia. Yang bongsu perempuan, 25, baru habis belajar dalam bidang teknologi makanan.

“Mereka semua tahu saya pernah hidup susah. Anak saya yang sulung beberapa tahun lepas belikan saya kereta yang saya idam-idamkan, Mercedes-Benz. Dia pilihkan nombor plat 1957 untuk saya,” katanya.

Politik, bukan kaum, pisahkan kita

Murugiah sama sekali tidak pernah lupa asal usulnya. Kesedaran itu jadi alasan untuk dia kini aktif dalam kerja amal dan kebajikan, baik untuk yang hidup mahupun yang sudah mati.

Melalui PHA dan Klinik Derma Sivasanta, sebuah klinik percuma di bawah Temple of Fine Arts, dia membantu keluarga miskin dengan makanan percuma, merawat mereka yang sakit dan menyempurnakan mayat yang tidak dituntut.

Murugiah berseloroh dia kini sudah jadi “pengemis berlesen”, mengutip derma untuk kerja amal dari tahun ke tahun.

“Saya beruntung dapat jumpa guru saya, mendiang (pewasitah Hindu yang juga pengasas Temple of Fine Arts) Swami Shantanand Saraswathi pada hujung 1970-an. Kalau tidak, saya mungkin berkawan dengan orang yang bukan-bukan dan hidup saya mungkin bukan macam hari ini.

“CAP juga mengajar saya hidup jujur. Saya jumpa banyak betul kes penipuan masa saya kerja di sana,” katanya.

Pengalaman hidup miskin dan sama-sama bersusah payah dengan keluarga lain sewaktu kecil membuatnya rindu semangat “muhibah” masa silam.

Walaupun orang ketika itu mengharungi hidup yang sukar, masih ada kasih sayang merentas batas agama dan kaum, katanya. Dia mengenang hujung minggu yang dihabiskan oleh keluarganya bersama sebuah keluarga nelayan Melayu – bermain bersama dan makan bersama dari pinggan yang sama.

“Semangat kekitaan dan perpaduan itu lebih kuat dahulu. Kami macam watak-watak pelbagai kaum dalam filem P. Ramlee. Kami boleh berkelahi tapi kami tetap kawan.

“Semangat itu sekarang retak kerana politik, bukannya kerana kita berlainan warna kulit atau kepercayaan. Semua agama mengajarkan kasih sayang dan hormat-menghormati,” katanya.

“Generasi Malaysia hari ini sepatutnya lebih senang tetapi malangnya banyaknya yang berhijrah ke negara lain, bimbang mereka tidak ada masa depan.

“Saya ada banyak kawan yang kata mereka meninggalkan tanah air ini atau berhijrah ke tempat lain seperti Australia atau negara barat lain demi pendidikan dan masa depan anak-anak.

“Mereka kurang senang dan bimbang masa depan Malaysia. Kalau kita boleh eratkan semula rasa kekitaan itu, kita boleh jadikan negara ini lebih berjaya dan indah.” – 6 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen