Insan di sebalik 'pengebumian percuma' di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Walaupun berhadapan dengan tugas penuh mencabar, P. Murugiah tidak pernah terfikir untuk berhenti, jauh sekali berputus asa. – Gambar The Malaysian Insight, 2 April, 2017.

Bermula minggu ini, The Malaysian Insight akan memaparkan golongan rakyat biasa yang berjaya menjadikan Malaysia ini lebih baik. Kami mulakan siri ini dengan P. Murugiah.

SEKITAR tahun 1980-an, P. Murugiah mendapati dirinya menjalankan tugas mengerikan – berurusan dengan mayat yang ditanam dalam kubur cetek, yang kemudiannya menjadi “makanan haiwan” apabila ia dihanyutkan selepas hujan lebat.

Bekas pegawai penyelidik itu kemudiannya berikrar berkhidmat kepada masyarakat India di Pulau Pinang dan, jika perlu, hingga ke akhir hayat.

Keluarga terlalu miskin untuk mengebumikan si mati, kutu rayau dan penagih dadah adalah “pelanggan” kepada ejen insurans.

Sejak 1985, beliau dan sekumpulan rakan menguruskan 542 mayat yang tidak dituntut ahli keluarga.

“Kebanyakan mayat yang tidak dituntut adalah kaum India dan sebahagian kecil warga asing. Ada gelandangan, penghidap HIV dan penagih dadah tidak diakui keluarga mereka, manakala yang lain datang daripada keluarga terlalu miskin yang tidak mampu melakukan pengebumian yang sepatutnya,” kata lelaki berusia 60 tahun itu.

Maruah untuk si mati

Kerja amal Murugiah bermula apabila ahli Parlimen Jelutong, mendiang Karpal Singh mendedahkan terdapat banyak anggota mayat bertaburan di Tanah Perkuburan Batu Lanchang.

“Ia disiarkan pada muka depan Straits Echo,” katanya kepada The Malaysian Insight, mengingatkan kembali bagaimana mayat dikebumikan di kubur cetek akan timbul kembali selepas hujan lebat.

“Apabila mayat timbul, haiwan datang. Itulah yang berlaku kepada anggota mayat yang bertaburan.”

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M. Mohamed Idris meminta Murugiah yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyelidik, menguruskan perkara itu.

“Mayat yang tidak dituntut dibungkus dalam kain putih apabila ia dihantar dari hospital ke tanah perkuburan.

Tiada keranda

“Pengurus pengebumian dibayar begitu murah dan tiada siapa menyelia pekerja tanah perkuburan, jadi mereka hanya menggali kubur tidak bertanda, sedalam dua kaki.”

Pada masa itu, Murugiah berkata tiada organisasi India atau Hindu mengebumikan mayat tidak dituntut.

“Masyarakat dan agama lain tidak mempunyai masalah seperti ini,” katanya.

Perkhidmatan “popular”

“Sukarelawan” perlu menanggung kos dan mencari seseorang untuk membersihkan mayat, memakaikannya pakaian, memantau urusan pengebumian, menanam atau membakarnya, dan mengumpul abu untuk ditabur ke laut,” kata Murugiah.

“Ia memerlukan dua hari jika dilakukan pada hari bekerja. Kami terpaksa menggunakan wang sendiri.”

Semua tugas ini tidak menyenangkan, mencabar dan sukar tetapi Murugiah tidak pernah terfikir untuk berputus asa.

Beliau berunding dengan gurunya, mendiang Swami Shantanand Saraswathi, seorang spiritualis Hindu dan pengasas Temple of Fine Art, dan perkhidmatan percuma untuk si mati bermula.

“Guru saya memberitahu tidak ramai orang diberi peluang sebegitu untuk berkhidmat dan membantu. Beliau membimbing dan menunjukkan kepada kami jalan untuk melakukannya,” katanya.

Menjadi ahli Hindu Sangam Malaysia pada masa itu, beliau dan lebih 20 sukarelawan daripada organisasi mengambil mayat tidak dituntut dan mengebumikannya dengan cara sepatutnya.

Mereka membersihkan mayat, menggali kubur dalam pelbagai keadaan cuaca, dan jika mayat dibakar, sukarelawan bergilir-gilir mengumpul abu dan menaburkannya di laut.

Ia melibatkan kos kira-kira RM100 hingga RM150 untuk pengebumian itu dan Idris membayar keranda yang pertama.

Tidak lama kemudian, Murugiah dan rakan-rakan mengendalikan lebih banyak kes.

Cabaran peringkat awal

Dari pertengahan 1980-an hingga 1990-an, mereka mengendalikan 20 hingga 30 mayat sebulan, sebelum jumlah itu turun kepada kira-kira 10 mayat sebulan sejak tahun 2000 hingga kini.

“Apabila kita bermula, kami juga pernah mengendalikan kes Kedah. Pulau Pinang menerima kes perubatan dari Kedah dan mereka terdiri daripada keluarga estet yang miskin.

“Ia terlalu mahal untuk membawa si mati pulang, jadi mereka mengadakan pengebumian di Pulau Pinang.”

Salah satu kes paling menyedihkan yang masih diingati Murugiah adalah yang melibatkan kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat tidak mendapat makanan berzat yang mencukupi pada 1986.

“Ibu bapanya adalah pekerja ladang di Lunas. Mereka amat miskin. Kanak-kanak itu begitu lapar, dia makan pasir.”

Satu lagi kes pada 1986 melibatkan mayat seorang juruteknik Ghana yang berada di rumah mayat selama 42 hari.

Lelaki itu meninggal dunia di bilik hotel semasa terkandas tanpa wang di Pulau Pinang selepas penjaja beca yang dinaiki membawa lari begnya yang mengandungi tiket penerbangan, AS$750 dan dokumen diperlukan untuk pekerjaan baru di New Guinea.

Murugiah berkata tahun pertama adalah sukar kerana mereka kekurangan dana. Mereka kadang-kadang mempunyai 10 badan seminggu dan terpaksa meminta derma.

“Kami hampir berputus asa pada tahun pertama. Tetapi semua berubah menjadi baik apabila berita mengenai apa yang kami lakukan diketahui dan orang datang membantu mengumpulkan wang.”

Insan berhati mulia

Beberapa individu dan kumpulan berjiwa mulia – Wong See Chiang, Molly Ho Siew Eng, peguam K. Kumarendran, Bodhi Heart Cooperation, dan Pusat Sathya Sai Baba – menyokong dengan memberi perkhidmatan secara percuma sejak 1986.

“Puan Molly membakar kek dan biskut, menjualnya dari pintu ke pintu untuk mengumpul wang untuk kami. Encik Wong kerap menelefon untuk memeriksa bagaimana beliau boleh membantu dan bersedia menampung kos pengebumian, manakala Bodhi Heart memulakan pengumpulan dana bagi kami,” katanya.

Enrico Trading dan Jayam Spice Mart menderma barangan sembahyang; Pusat Anitha Saree, Umayal Tekstil dan Pusat Sarees Rao, pakaian untuk si mati; dan Ganapathy Florist, kalungan dan bunga percuma.

“Kini terdapat orang dalam senarai menunggu, berikrar untuk menaja apa yang kami lakukan.”

Pengebumian secara percuma diselia Persatuan Hindu Pulau Pinang(PHA), yang mana Murugiah juga bertindak sebagai timbalan presiden, sejak lima tahun lepas.

Kini, 15 sukarelawan mengendalikan kes lebih sedikit dengan purata lima mayat sebulan, walaupun pengebumian menelan kos lebih mahal.

“Bermula tahun lepas, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mengenepikan kos pembakaran mayat, yang berharga RM500. Oleh itu, kita membelanjakan kira-kira RM800 bagi setiap pengebumian mayat sekarang.

“Jika krematorium tidak diperolehi, kami membakar mayat dengan kayu api, yang berjumlah RM400.” Yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM1,000.

Mayat orang dewasa dibakar manakala kanak-kanak dikebumikan, kata Murugiah, mengikut adat yang diajar mendiang gurunya.

Kumpulan itu turut mendekati hospis, rumah anak yatim dan orang tua. Murugiah dan kawan-kawannya juga menguruskan pembakaran bekas guru Bahasa Inggeris dan Sejarah P.K.  Sankunni Nair, penghuni Rumah Jubli Perak bagi orang tua pada Mac 2016.

Sankunni mengajar di Sekolah Tinggi Chung Ling dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon adalah seorang daripada bekas pelajar.

Perbuatan baik dibalas

Apabila Murugiah dan kawan-kawannya memulakan perkhidmatan, keluarga bimbang dan tidak menyokong mereka.

“Kami akan meneruskannya dan saya fikir kita semua diberkati (kerana itu). Kami semua juga. Anak-anak kami berjaya dan mujizat yang berlaku kepada keluarga kami.

“Ia kembali kepada guru saya, yang membuka mata kami kepada peluang yang Tuhan berikan.”

Murugiah, bapa tiga anak, berkata anak sulungnya menyatakan minat untuk meneruskan kerja amal.

Namun, bukan si mati sahaja yang memenuhi masa Murugiah. Melalui PHA, beliau juga membantu keluarga miskin dengan bantuan makanan dan kanak-kanak sakit serta kekurangan zat makanan dengan penjagaan kesihatan.

Bantuan bagi pelajar miskin termasuk wang untuk tambang bas dan perbelanjaan sekolah, cermin mata, alat bantuan pendengaran dan biasiswa.

Bagi warga emas yang memerlukan, beliau memberikan tongkat, kerusi roda dan lampin dewasa.

Malam Selasa dan Khamis Murugiah dihabiskan di Derma Sivasanta, klinik percuma diasaskan mendiang gurunya dan beroperasi di bawah naungan Temple of Fine Arts.

Walaupun dengan semua kerja dilakukan untuk membantu mereka yang hidup dan mati, Murugiah berkata: “Apa yang kami lakukan masih tidak mencukupi.” – 2 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen