Tiada tanah tambak dijual, kata KM Pulau Pinang


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dakwaan yang kerajaan negeri menjual ribuan hektar tanah tersebut adalah tidak benar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak menjual mana-mana tanah dalam projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana ia dikhususkan untuk kegunaan industri, perumahan awam dan rekreasi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dakwaan yang kerajaan negeri menjual ribuan hektar tanah tersebut adalah tidak benar.

Katanya, kerajaan negeri masih lagi pemilik tunggal tiga pulau yang merupakan tapak projek berkenaan.

Projek PSR yang mahu menambak tiga pulau terletak di selatan Pulau Pinang dibiayai oleh Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai berbilion ringgit.

“Tanah digunakan untuk PSR ditentukan oleh kerajaan negeri yang memutuskan untuk memperuntukkan 1,000 ekara bagi pembangunan sektor industri.

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk memperuntukkan 30% perumahan awam di atas tanah tambak, 10% lagi pulau akan diubah menjadi kawasan rekreasi dan dibuka kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow, yang juga bertanggungjawab atas hal ehwal tanah dan pembangunan berkata, kerajaan juga akan memilih pemaju untuk PSR menerusi tender terbuka yang adil dan telus.

“Dana daripada tender ini akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang, termasuklah pembinaan landasan dan lebuh raya.”

Mengenai pinjaman mudah RM1 bilion diminta Pulau Pinang dari Putrajaya tahun lepas, Chow berkata ia bagi memulakan fasa pertama PTMP. – 13 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen