MALAYSIA masih belum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Awal hari ini, Dr Mahathir berkata Putrajaya akan memotong perbelanjaan yang tidak mampu ditampungnya.
“Buat masa ini belum ada keputusan akhir dibuat, (sebelum ini) ada keputusan dibuat tapi sekarang kami perlu cari penyelesaian dibuat. Kami masih berunding,” kata Dr Mahathir, pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, di Petaling Jaya, hari ini selepas diasak wartawan tentang isu tersebut.
Pengerusi Bersatu itu berkata, Putrajaya turut melantik pihak tertentu untuk menyelesaikan rundingan tersebut.
Dr Mahathir berkata, percanggahan maklumat juga berlaku kerana media salah tafsir kenyataan yang dikeluarkan anggota Kabinetnya.
“Berlaku percanggahan maklumat kerana kamu (wartawan) tafsir kenyataan menteri berbeza. Saya tanya menteri, dia kata dia tak kata macam itu,” kata Dr Mahathir.
Tambahnya, kedua-dua anggota Kabinet, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali membuat kenyataan yang betul namun pada masa yang salah.
“Sebenarnya keputusan sudah dibuat. Menteri hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi media tidak laporkan perkara sebenar dengan menekankan perkara lain.
“Sebenarnya yang patut diberi penekanan ialah hubungan kita dengan China kekal utuh,” kata Dr Mahathir.
Malah, beliau berkata, Lim akan membuat pengumuman selepas segala rundingan selesai.
Terdahulu hari ini, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak berniat mengingkari kontrak dengan China tetapi mahu mengurangkan beban perbelanjaan yang tidak mampu ditanggung.
“Kami dibebani dengan hutang yang sangat besar dan terpaksa mengurangkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Bukannya kami tidak mahu menghormati kontrak tetapi kami tidak boleh bayar. Kontrak ini boleh menyebabkan kos lebih RM100 bilion dan akan memudaratkan kita.
“Oleh itu, kita berharap pihak berkenaan memahaminya, kami tidak mahu menghentikan atau mengingkari kontrak tetapi kami benar-benar berdepan kekangan dari segi kewangan,” kata Dr Mahathir, dalam satu program di Putrajaya.
Keputusan mengenai status projek ECRL yang diuruskan China Communications Construction Group Ltd (CCCC) mencetuskan kontroversi selepas Lim dan Azmin mengeluarkan kenyataan yang berbeza.
Azmin dilaporkan berkata, projek ECRL ditamatkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.
Katanya, keputusan itu diambil memandangkan Putrajaya tidak mampu menanggung kadar faedah menjangkau RM500 juta setahun sekiranya meneruskan projek tersebut.
Lim pula dilaporkan terkejut dengan kenyataan Azmin, malah menegaskan keputusan berkenaan projek bernilai RM81 bilion itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – 29 Januari, 2019
Komen