Dr Mahathir akui Putrajaya dibebani hutang tetapi tidak sahkan ECRL batal


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan di Putrajaya pagi ini. Beliau berkata pampasan yang perlu dibayar negara kepada China untuk membatalkan projek ECRL tidak setinggi kos projek itu sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Januari, 2019.

MALAYSIA tidak berniat mengingkari kontrak dengan China tetapi ia mahu mengurangkan beban perbelanjaan yang tidak mampu ditanggung, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami dibebani dengan hutang yang sangat besar dan terpaksa mengurangkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu

“Bukannya kami tidak mahu menghormati kontrak tetapi kami tidak boleh membayar. Kontrak ini boleh menyebabkan kita kos lebih RM100 bilion dan akan memudaratkan kita.

“Oleh itu, kita berharap pihak berkenaan memahaminya.

“Kami tidak mahu menghentikan atau mengingkari kontrak tetapi kami benar-benar berdepan kekangan dari segi kewangan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan di Putrajaya pagi ini.

Beliau menjawab soalan mengapa terdapat pengumuman bercanggah daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengenai status Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan mengesahkan sama ada ECRL dibatalkan.

“Menteri kewangan akan memberikan penjelasan lebih terang mengenai apa yang berlaku.

“Kadang-kala, para menteri membuat pengumuman sebelum ia tiba masanya. Saya mengakui beberapa kesilapan dibuat dan kita akan membetulkannya,” kata Dr Mahathir.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata pampasan yang perlu dibayar Malaysia kepada China untuk membatalkan projek itu tidak setinggi kos projek itu sendiri.

“Pampasan besar itu tidaklah sebesar seperti hutang yang akan kita tanggung selama 30 tahun akan datang,” kata Dr Mahathir, mengenai persoalan sama ada Malaysia perlu membayar ganti rugi kepada China kerana membatalkan ECRL. – 29 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen