Kontrak bina ECRL dengan syarikat China batal, kata Azmin


Kerajaan memutuskan sedemikian kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM500 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

KERAJAAN mengesahkan kontrak membina Landasaan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dibatalkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata mesyuarat jemaah menteri memutuskan perkara itu pada Rabu kerana kerajaan tidak mampu menanggung projek berkenaan.

“Kita tidak mampu. Kadar faedah sahaja hampir setengah bilion ringgit. Jadi adalah baik kita buat keputusan sebab pelabur pun mahu penjelasan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pampasan untuk penamatan kontrak itu bagaimanapun belum diputuskan dan akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan, kata Azmin 

Ia akan diputuskan setelah memastikan kos itu tidak membebankan keadaan kewangan negara, katanya lagi.

Jelasnya, penamatan projek itu juga dibuat tanpa menjejaskan hubungan baik dengan China dan Malaysia masih mengalu-alukan semua bentuk pelaburan dari republik itu.

Desas-desus berhubung pembatalan kontrak itu sudahpun berlegar sejak dua hari lalu bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya berkata beliau tidak tahu mengenai keputusan berkenaan.

Media Singapura, The Straits Times semalam melaporkan Malaysia sedang mencari kontraktor baharu untuk membina ECRL selepas pambatalan kontrak tersebut.

Laporan itu menyebut, Putrajaya bercadang untuk mengurangkan kos membina landasan sepanjang 688km itu dari RM81 bilion kepada RM40 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 3 Julai lalu mengarahkan semakan semula ke atas projek ECRL dan supaya CCCC menghentikan semua projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan landasan itu.

Dr Mahathir pada masa itu juga mendedahkan, pampasan kepada syarikat China itu boleh mencecah berbilion ringgit. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen