Azmin tak maklum keputusan projek ECRL, kata Guan Eng


Menteri Kewangan Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut atas pengumuman awal Azmin Ali mengenai pembatalan projek ECRL hari ini dan mendakwa menteri PKR itu tidak maklum dengan keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2019.

BARU beberapa jam selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mengumumkan kontrak projek landasan kereta api kontroversi ECRL dibatalkan, seorang lagi menteri Kabinet tampil menangkis pengumuman itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut atas pengumuman awal Azmin hari ini dan mendakwa menteri PKR itu tidak maklum dengan keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketika ditanya mengenai keputusan itu, Lim hari ini pada mulanya berkata Azmin tidak menghadiri mesyuarat Kabinet pada Rabu, yang didakwa membuat keputusan pembatalan kontrak itu.

Selepas beberapa ketika, Lim kemudiannya berkata beliau tidak bermaksud bahawa Azmin tiada dalam mesyuarat Kabinet dan berkata menteri itu tidak dimaklumkan dengan keputusan Dr Mahathir.

“Maksud saya, beliau tidak maklum dengan keputusan oleh Tun (Dr Mahathir).

“Saya rasa terkejut dengan dia punya pengumuman. Tapi mungkin itu kedudukannya, tetapi, walau macam mana pun satu kenyataan akan dikeluarkan,” kata Lim lagi.

Lim dalam satu rakaman sidang media yang disiar di Youtube juga beberapa kali menegaskan bahawa beliau bertindak atas arahan Kabinet dan Dr Mahathir Mohamad.

Lim mengulas perkara itu hari ini kerana Azmin mengumumkan jemaah menteri dalam mesyuarat Rabu lalu memutuskan pembatalan kontrak membina ECRL dengan Communications Construction Company (CCCC).

Menurut Azmin, ia diputuskan demikian kerana kerajaan tidak mampu menanggung projek berkenaan dan Kementerian Kewangan akan menentukan jumlah pampasan bagi CCCC.

“Kita tidak mampu. Kadar faedah sahaja hampir setengah bilion ringgit. Jadi adalah baik kita buat keputusan sebab pelabur pun mahu penjelasan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jelasnya, penamatan projek itu juga dibuat tanpa menjejaskan hubungan baik dengan China dan Malaysia masih mengalu-alukan semua bentuk pelaburan dari republik itu.

Desas-desus berhubung pembatalan kontrak itu sudahpun berlegar sejak dua hari lalu bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya berkata beliau tidak tahu mengenai keputusan berkenaan.

Media Singapura, The Straits Times semalam melaporkan Malaysia sedang mencari kontraktor baharu untuk membina ECRL selepas pambatalan kontrak tersebut.

Laporan itu menyebut, Putrajaya bercadang untuk mengurangkan kos membina landasan sepanjang 688km itu dari RM81 bilion kepada RM40 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 3 Julai lalu mengarahkan semakan semula ke atas projek ECRL dan supaya CCCC menghentikan semua projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan landasan itu.

Dr Mahathir pada masa itu juga mendedahkan, pampasan kepada syarikat China itu boleh mencecah berbilion ringgit. – 26 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen