Umno saman ahli Parlimen keluar parti


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti memfailkan saman di mahkamah terhadap semua ahli Parlimen yang keluar parti itu untuk satu ganti rugi dengan jumlah yang besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2018.

UMNO mahu semua bekas ahli Parlimennya yang keluar parti itu “membayar hutang budi” yang membolehkan mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata Umno sudah memfailkan saman di mahkamah terhadap semua ahli Parlimen yang keluar parti itu untuk satu ganti rugi dengan jumlah yang besar.

Saman itu difailkan pada 14 November lalu, katanya.

Beliau berkata demikian semasa diwawancara dalam program wacana bertajuk “‘Sesi Dari Hati Ke Hati Bersama Presiden Umno” anjuran Penerangan Umno di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, malam ini, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Sehingga minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno keluar parti menjadikan Umno sekarang tinggal 37 wakil di Dewan Rakyat.

Zahid pertama kali menyebut tindakan saman mahkamah terhadap wakil rakyat keluar Umno dalam ucapan dasar presiden semasa perhimpunan agung parti itu September lalu.

Ketika itu beliau menyebut Umno mahu menuntut wakil rakyat berkenaan membayar balik semua kos pilihan raya selain mengosongkan kerusi yang mereka menangi.

Dalam ucapannya pada masa itu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memaklumkan semua wakil rakyat Umno sudah diminta menandatangani akujanji.

“Jika keluar parti, sama ada menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik.

“Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi,” katanya, dalam ucapan September lalu.

Pada masa itu, Umno hanya hilang lima ahli Parlimen iaitu Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Mustapa Mohamed (Jeli) dan Anifah Aman (Kimanis).

Noor Azmi, Mas Ermieyati dan Mustapa kini sudah menyertai Bersatu.

Lebih awal sebelum itu, dalam tempoh seminggu selepas PRU14, tiga wakil rakyat negeri di Johor dan beberapa wakil rakyat di Sabah juga keluar parti.

Pada 11 Oktober, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli menyertai Parti Warisan Sabah, sebelum lima ahli Parlimen dan wakil rakyat negeri dari Sabah serta 21 ketua bahagian Umno negeri itu keluar parti, Rabu lepas.

Dua hari kemudian, enam lagi ahli Parlimen Umno mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Zahid. Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).

Hamzah turut mendedahkan 10 lagi ahli Parlimen Umno akan keluar parti tidak lama lagi. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen