Tiga sekawan Nurul Izzah, Rafizi dan KJ minum bersama lagi


Khairy Jamaluddin memuat naik foto mereka bertiga sedang minum di sebuah restoran di Bangsar di Instagram hari ini. – Gambar Instagram, 18 Disember, 2018.

NURUL Izzah Anwar sekali lagi dilihat minum bersama Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur, ketika tiga tokoh politik muda itu jadi perhatian kerana pelbagai isu dalam parti masing-masing.

Ini adalah pertemuan terbuka mereka yang kedua sejak 10 Disember lalu.

Nurul Izzah semalam mengumumkan letak jawatan PKR dan lantikan kerajaan tetapi kekal sebagai ahli parti dan ahli Parlimen.

Katanya, beliau hanya mahu jadi ahli biasa PKR dan ahli Parlimen “yang komited pada pembaharuan”.

Khairy, yang juga ahli Parlimen Rembau, turut memuat naik foto mereka bertiga di Instagram.

BH Online yang memetik maklumat pembacanya melaporkan Nurul Izzah yang pertama sampai di restoran di Bangsar Shopping Center kira-kira pukul 12 tengah hari diikuti Rafizi dan Khairy.

Selepas kecoh Nurul Izzah letak jawatan semalam, Khairy dan Rafizi masing-masing memberikan ‘kata-kata semangat’ kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Di laman Twitter, Khairy memuji ketokohan Nurul Izzah dalam politik dan menyifatkan beliau sebagai seorang ahli Parlimen contoh.

Sementara Rafizi pula menegaskan Nurul Izzah tidak berundur daripada politik sebaliknya akan terus memainkan peranan penting di Parlimen dan arena politik negara.

Beliau juga menyifatkan Nurul Izzah pejuang reformis yang berprinsip. 

Rafizi sebelum ini menjelaskan mereka makan tengah hari bersama pada 10 Disember lalu secara santai sambil berbincang isu rakyat. 

“Tidak ada apa, sembang biasa. Maksudnya kita wajar tumpu kepada perkara yang membersamakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rafizi bulan lalu gagal mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti. Izzah adalah wakil naib presiden pasukan beliau dalam pemilihan yang menjadikan ahli PKR berpuak-puak antara kem Rafizi dan kem Azmin.

Khairy yang kalah pemilihan presiden Umno pada akhir Jun lepas adalah antara suara lantang mengkritik Ahmad Zahid Hamidi.

Minggu lalu, beliau menghantar mesej tegas dan jelas kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu supaya letak jawatan presiden Umno.

Zahid kini didesak berundur termasuk oleh beberapa pemimpin akar umbi Umno setelah dilihat gagal memberikan kepimpinan sehingga 17 ahli Parlimen parti itu keluar parti.

Umno Sabah juga lumpuh selepas wakil rakyat persekutuan dan negeri keluar parti bersama 21 daripada 25 ketua bahagian. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen