Rafizi, Izzah, KJ makan bersama sembang isu rakyat


Nabihah Hamid

Gambar yang dimuat naik oleh Rafizi Ramli dalam laman Instagramnya selepas makan tengah hari bersama Nurul Izzah Anwar Khairy Jamaluddin. – Gambar Instagram, 10 Disember, 2018.

ACARA makan tengah hari dengan ahli Parlimen Umno Khairy Jamaluddin hanya dibuat secara santai untuk berbincang isu rakyat, kata pemimpin PKR Rafizi Ramli.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan mengenai gambar yang  menunjukkan beliau serta ahli Parlimen Permatang Pauh makan tengah hari bersama Khairy di satu lokasi yang tak dinyatakan.

Tegasnya, acara itu sekadar perbualan biasa melibatkan isu-isu rakyat. 

“Tidak ada apa, sembang biasa. Maksudnya kita wajar tumpu kepada perkara yang membersamakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Gambar menunjukkan perjumpaan itu dimuatkannya di Instagram pagi ini.

Bekas naib presiden PKR itu tidak menjelaskan isu rakyat yang dibincangkan tetapi mengesahkan bahawa sesi seperti itu akan diteruskan di masa hadapan.

“Acara makan dari masa ke masa. Maksudnya tidak perlu bermusuh walau ada pandangan berbeza, asalkan niat nak membantu rakyat. 

“Kami bergilir untuk tentukan (perjumpaan). Kita ada matlamat hendak dikatakan,” kata Rafizi lagi. 

Mengulas itu sama, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata perbincangan dengan ahli Parlimen Umno itu tidak sepatutnya mendatangkan sebarang masalah.

“Ruang perbincangan dalam menemukan jalur pertengahan amat mendesak buat Malaysia. 

“Kesediaan Khairy Jamaluddin bertemu dengan kami walau berlainan parti amat bermakna dalam membuktikan keberanian dan semangat setiakawan demi Malaysia,” katanya. – 10 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Silaturahim adalah keutamaan. Perbincangan kearah kebaikan umat adalah tanggungjawab bersama.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Raja Shahrulzaman · Ulasan