SKUAD Badar hairan kerana operasi cegah maksiat dan khalwat mereka baru kini dipersoalkan pihak berkuasa sedangkan ia dijalankan selama dua tahun di Sungai Petani tanpa sebarang bantahan.
Pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad berkata pasukan polis dan pejabat agama juga sudahpun tahu kegiatan yang dijalankan mereka selama ini dan tidak menegah operasi tersebut.
Malah, pasukan polis daerah Kuala Muda turut meminta kerjasama daripada mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah di Sungai Petani, kata Azhaar.
“Kegiatan ini bukan hari ini baru dilakukan, bukan baru hari ini saya letak di Facebook. Kenapa hari ini baru dipertikaikan? Jika kami bersalah, kenapa pihak polis tak panggil kami?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan kerajaan yang menganggap kegiatan mereka keterlaluan dan menyalahi undang-undang.
Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa semalam berkata operasi kumpulan ini secara polis moral adalah “tidak sah” kerana tidak mendapat keizinan pihak berkuasa agama atau penguatkuasa persekutuan.
Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul pula berkata tindakan Skuad Badar membawa pasangan yang ditahan ke tanah perkuburan sebagai “keterlaluan”.
Mengulas lanjut kenyataan itu, Azhaar mengakui bahawa laporan polis yang dibuat sebelum memulakan operasi bukanlah satu “kebenaran” daripada pihak polis.
Bagaimanapun polis tidak pula menegah mereka dari menjalankan operasi tersebut, dan menasihati agar tidak melanggar undang-undang, katanya.
“Saya tidak kata laporan itu satu kebenaran, polis hanya minta Skuad Badar berhati-hati dan jangan melangkaui undang-undang.
“Tidak pernah ada halangan (daripada polis), pegawai polis kata boleh teruskan operasi kerana tidak langgar undang-undang,” jelasnya.
Tambah Azhaar lagi, kebenaran yang diberikan pihak polis itu dibuat secara lisan tanpa sebarang hitam putih.
Skuad Badar itu menjalankan aktiviti secara sukarela mencari pasangan Islam yang tiada ikatan sah bermadu kasih di hotel-hotel sekitar Sungai Petani.
Mereka akan membawa pesalah itu ke tanah perkuburan di Masjid Padang Temusu bagi sesi tarbiah untuk menimbulkan keinsafan kepada mereka.
Azhaar Mohamad yang lebih dikenali sebagai Ayah Ad turut menjelaskan, pasukannya akan meneruskan membawa pesalah maksiat ke kubur kerana dengan kaedah itu kadar maksiat dapat diturunkan.
“Kaedah ini insya-Allah akan teruskan. Ia berjaya berikan rasa ketakutan dan kerisauan kepada pelaku maksiat di Sungai Petani. Kes maksiat menurun akibat kami bawa mereka ke kubur,” tambah beliau.
Jelas Azhaar, mereka memohon kebenaran daripada ibu bapa kepada suspek yang ditahan atas kesalahan syariah sebelum dibawa ke kawasan tanah perkuburan dalam operasi Skuad Badar.
Beliau turut mengulas jemputan Exco Agama Islam Kedah, Ismail Salleh agar skuad itu mendaftar sebagai pertubuhan sah serta terlibat dalam pasukan penguatkuasaan membantu Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Katanya Skuad Badar masih tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah badan sah disebabkan kerenah birokrasi.
Malah, ketua polis daerah Kuala Muda, polis cawangan khas daerah, pegawai agama daerah dan juga pegawai daerah Sungai Petani juga memintanya agar mendaftar pertubuhan itu.
Jelasnya Skuad Badar telah menghantar borang sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun tetapi tidak pernah diluluskan.
“Kali pertama ditolak, tanpa sebarang sebab. Apabila kami hantar kali kedua, ROS kata perlu melalui polis, polis kata perlu melalui pejabat agama, tanya pejabat agama pula mereka kata melalui polis.
“Saya beranggapan, kami sudah berdaftar tetapi mereka yang tidak lulus,” jelasnya.
Tambahnya, Skuad Badar sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa untuk menjalankan operasi mencegah maksiat.
“Jika Skuad Badar diajak untuk bekerjasama dengan Jaik untuk operasi cegah mungkar, Skuad Badar setuju dan berbesar hati (untuk bersama Jaik),” kata beliau. – 15 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan