Bersatu bertanggungjawab forum jadi kecoh, kata ketua polis


Yasmin Ramlan

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata penganjur forum “Nothing to Hide 2.0” sepatutnya bertanggungjawab atas keselamatan hadirin yang hadir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

BERSATU mesti mengambil tanggungjawab atas kekecohan yang berlaku semasa forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Katanya, selaku penganjur forum, Bersatu tidak wajar menuding jari kepada orang lain kerana mereka seharusnya sudah tahu apa yang disyaratkan mengikut undang-undang bersabit penganjuran majlis seumpama itu.

“Majlis ‘Nothing to Hide 2.0’ itu tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman dan akta itu jelas memperuntukkan penganjur bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka yang hadir, keselamatan tempat, keselamatan acara itu.

Akta itu jelas memperuntukkan perkara ini.

“Jadi pada saya tidak eloklah penganjur cuba salahkan polis dan sebagainya. Sepatutnya penganjur kena buatlah peraturan orang nak masuk itu apa yang boleh bawa, apa tak boleh bawa kerana dia bertanggungjawab atas keselamatan majlis.

“Yang bijak pandai ini tengoklah peruntukan undang-undang akta itu apa dia sebut,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman hari ini.

Beliau menyarankan mana-mana penganjur majlis seperti itu supaya merujuk kepada polis sekiranya kurang jelas mengenai peruntukan undang-undang berhubung perhimpunan aman.

Khalid berkata polis tidak mengawal keadaan keselamatan di dalam dewan tempat majlis berlangsung sebaliknya hanya menjaga keadaan di luar majlis.

“Pihak polis memang kita tak kawal keselamatan dalam itu. Tapi kita (polis) berada di luar majlis kerana polis tidak dijemput pun dalam majlis itu. Jadi kita jaga keselamatan di luar majlis,” katanya.

Khalid juga memaklumkan polis belum memanggil pihak penganjur untuk memberi keterangan berhubung apa yang berlaku.

“Sekarang kita fokus dulu kepada mereka yang membuat kecoh. Kemudian ini kita panggil penganjur pula. Jangan penganjur ingat dia boleh lepas tangan begitu saja,” katanya.

Polis setakat awal Rabu menahan 13 suspek yang dipercayai terlibat mencetuskan kekacauan pada forum itu. Mereka disiasat kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya.

Siasatan awal mendedahkan beberapa remaja yang terlibat dibayar RM50 untuk memulakan kekacauan pada forum anjuran Bersatu itu, dengan membaling kasut dan membakar suar ke pentas tempat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berucap.

Dalam kekecohan itu, mereka juga kemudiannya membaling kerusi ke arah hadirin.

Pemimpin PH menyalahkan Umno manakala pegawai kanan perdana menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menuduh Dr Mahathir punca kekacauan.

Tengku Sariffuddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata hadirin pada forum itu marah apabila Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.

Dr Mahathir sempat menjawab lapan soalan sebelum selipar mula “terbang” diikuti kasut dan botol air serta kemudiannya kerusi dan suar yang dibakar.

Antara soalan itu termasuk yang menyentuh tentang anaknya Mukhriz menjadi perdana menteri, moral Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat, Azmin Ali dan PAS, serta peristiwa berdarah Memali.

Sementara itu, mengulas mengenai forum “Nothing to Hide 0.3” yang bakal dianjurkan oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos pula, Khalid menasihatkan mereka mematuhi undang-undang.

“Sama juga dengan versi ‘Nothing to Hide 2.0’, kami tak mahu campur. Bab nak buat itu, nak buat ini (forum), kami tak mahu campur. Nasihat saya, patuhi undang-undang dan Akta Perhimpunan Aman. Itu saja,” katanya. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen