Dr Mahathir sempat jawab 8 soalan sebelum kerusi terbang


Diyana Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad tenang dan bersedia menanti soalan yang dikemukakan peserta forum 'Nothing to Hide 2.0' di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Ogos, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad sempat menjawab lapan soalan pada forum “Nothing to Hide 2.0” sebelum majlis bertukar kecoh apabila ada hadirin bertindak membaling selipar, botol air dan mencampak suar sebanyak dua kali.

Kejadian berlaku ketika Dr Mahathir menjawab soalan tentang insiden Mamali sejam selepas forum berlangsung.

“Empat polis dibunuh dengan tangan mereka, balasannya dengan cara itu. Itu adalah SOP,” kata Dr Mahathir yang kemudian terhenti selepas seorang hadirin membaling selipar ke arahnya.

Sebelum itu, seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Taufik bangun meminta penjelasan mengenai insiden Memali.

“Insiden Memali ini ramai tak tahu, Tun Mahathir kata mereka penjenayah tetapi mereka ini orang Islam,” kata Taufik.

Serentak dengan itu sekumpulan anggota ahli Bersatu menuju ke pentas melindungi Dr Mahathir dan mengiringi beliau keluar melalui pintu belakang.

Situasi menjadi tidak terkawal berlaku adegan kejar mengejar antara Pemuda Bersatu dan suspek sehingga ke luar bangunan yang kira-kira 100 meter daripada pagar jaraknya.

Terdahulu forum yang bermula pada jam 4.10 petang itu berlangsung dengan keadaan agak tegang ekoran beberapa soalan berbaur kontroversi diajukan peserta.

Dr Mahathir turut ditanya tentang mengapa beliau bersetuju untuk memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana menteri sedangkan sebelum ini mengatakan Anwar tidak layak kerana kesalahan liwat dilakukannya dan dianggap tidak bermoral.

Jawab Dr Mahathir; ” Setiap orang mempunyai dosa dan kalau dosa itu perlu dihitung dan ditanya untuk seseorang untuk jadi perdana menteri maka sukarlah untuk orang itu jadi perdana menteri.”

Dr Mahathir juga ditanya adakah beliau mempunyai agenda menjadikan anaknya Mukhriz sebagai perdana menteri dan mengenai pendirian Azmin Ali yang dilihat begitu mesra dengan PAS serta lari daripada perjuangan PH.

Kata beliau jika benar mempunyai agenda begitu ia sudah dilakukan lama sewaktu beliau masih lagi menjadi perdana menteri.

Mengulas pertanyaan mengenai pendirian Azmin beliau menyifatkan tidak mudah untuk menyatukan parti yang berpecah belah sebelum ini.

Namun katanya PH telah sepakat fokus utama mereka adalah menumbangkan Najib dan membina kerajaan baharu.

“Perkara ini kita cuba selesaikan. Kita sudah cakap dengan Azmin.Dan sekarang paling utama adalah untuk menyingkir Najib dan perkara tersebut turut dipersetujui Azmin.” katanya.

Beliau dalam acara itu turut berikrar untuk tidak kembali kepada Umno yang didakwa telah dirosakkan oleh Najib.

“Saya tak akan kembali kepada Umno. Umno yang ditubuhkan Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn sudah dirampas oleh Najib dan sekarang seluruh parti musnah, tidak meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Sekarang mereka curi duit untuk tinggal di rumah mewah. Saya harap rakyat tidak lagi beri mereka peluang. Kita mesti jatuhkan mereka. Jangan takut.”  – 13 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen